Integriti SPRM ditangani melalui saluran sah, bukan himpunan jalanan
- 1 hour ago
- 1 min read

Isu yang dibangkitkan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan soal integriti institusi dan bukannya isu emosi atau sentimen politik yang memerlukan himpunan jalanan.
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Alor Gajah, Rubiah Tamby, menegaskan kes berkenaan perlulah disiasat oleh kerajaan dan tidak perlu dinaikkan emosi rakyat melalui himpunan menekan KP SPRM, kerajaan atau sebagainya.
Katanya, meskipun hak untuk bersuara membenarkan perhimpunan namun ianya perlu digunakan secara berhemah, aman dan berprinsip.
"Berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin Perlembagaan. Namun ia mesti membawa mesej yang jelas, bermaruah dan berkesan, bukan sekadar demonstrasi murahan yang akhirnya meletihkan rakyat tanpa hasil," katanya dalam satu kenyataan mengulas himpunan 'Tangkap Azam Baki' yang akan diadakan di ibu negara petang ini.

Rubiah menegaskan bahawa negara mempunyai Perlembagaan, undang-undang serta institusi yang perlu dihormati oleh semua pihak.
"Isu integriti SPRM perlu ditangani melalui saluran sah, siasatan bebas dan mekanisme undang-undang, bukan dengan jeritan kosong atau tekanan populis yang boleh mencemarkan perjuangan reformasi itu sendiri," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa KEADILAN sejak awal memperjuangkan pembaharuan institusi secara sistemik dan bukannya politik kebencian atau tekanan jalanan tanpa hala tuju.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khususnya di Alor Gajah dan Melaka agar terus bersuara secara berfakta dan berdisiplin serta menggunakan saluran undang-undang dan demokratik yang tersedia.
"Reformasi bukan tentang siapa paling bising di jalanan, tetapi tentang siapa paling konsisten mempertahankan prinsip, undang-undang dan kebenaran.
"Integriti institusi mesti dipertahankan. Perlembagaan mesti dihormati. Suara rakyat mesti disalurkan dengan bermaruah," katanya lagi.





