INSKEN pacu agenda latihan, pemerkasaan PMKS menjelang RMK-13
- Suara Keadilan
- 21 minutes ago
- 3 min read

Kejayaan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) dalam melatih dan melahirkan puluhan ribu usahawan di Malaysia telah mengubah nasib dan meningkatkan ekonomi rakyat, terutamanya golongan muda.
Hal itu dinyatakan oleh Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub dalam menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta Program Bimbingan INSKEN 2025 yang menamatkan pengajian, selain penerima Anugerah Usahawan MADANI INSKEN 2025 (AUMI 2025) yang diraikan baru baru ini.
Menurut beliau, kejayaan program berkenaan tidak akan tercapai tanpa komitmen padu seluruh ekosistem keusahawanan yang terlibat.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan INSKEN, Industry Coach, BisKaunselor, tenaga pengajar, rakan strategik serta agensi-agensi yang telah memastikan pelaksanaan program INSKEN berjalan lancar dan memberi impak besar kepada pembangunan keusahawanan negara," katanya dalam ucapan di Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2025 di Cyber Event Hall, Cyberjaya.
Mustaffa berkata, INSKEN kini menjadi antara agensi terpenting di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diberi mandat membangunkan kapasiti usahawan negara, khususnya dalam segmen perusahaan mikro dan kecil (PMKS).
Sepanjang tahun 2025, pelbagai program latihan dan bimbingan yang dilaksanakan INSKEN telah mencatatkan pencapaian signifikan, antaranya melatih lebih 25,000 usahawan mikro dan kecil, meningkatkan hasil jualan sebanyak RM22.4 juta, mewujudkan 710 peluang pekerjaan baharu serta menukarkan 59 perniagaan daripada status mikro kepada kecil.
"Di tahun 2025 juga INSKEN mulai mewujudkan Pusat Rujukan Inklusif Usahawan Madani (PRIME) dengan kerjasama pelbagai pihak disetiap Negeri dan daerah sebagai "one stop centre" usahawan bagi rujukan, bimbingan serta memahami ekosistem 66 agensi keusahawanan di bawah Kerajaan Madani," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa INSKEN juga mulai mewujudkan alumninya, mengemaskan data serta program pemerkasaannya.
Dalam masa sama, kata Mustaffa, INSKEN telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda Perniagaan Inklusif (Inclusive Business) dan memperkasa Perusahaan Sosial (Social Enterprise) sebagai sektor baharu yang semakin signifikan dalam pembangunan ekonomi dan komuniti.
"Buat julung kalinya, INSKEN memperkenalkan Anugerah Usahawan MADANI 2025 bagi mengiktiraf 12 usahawan cemerlang melalui kategori Anugerah Usahawan Madani, Gemilang, Harapan, Legasi dan Perdana."
Selaras dengan Agenda Reformasi Pentadbiran Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Mustaffa berkata, INSKEN turut menggerakkan Reformasi Pentadbiran Pengurusan INSKEN 2026 (RAPI 2026), termasuk pewujudan Pusat Kecemerlangan (COE) yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan, digital dan sistem pemasaran berasaskan agen pintar.
Tahun permulaan RMK-13
Mengulas hala tuju 2026, beliau menyifatkan tahun tersebut sebagai fasa penting berikutan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"INSKEN akan terus mempergiatkan usaha penskalaan usahawan mikro kepada usahawan kecil, selaras dengan agenda RMK-13, resolusi KEB2024 dan PUTERA35 dalam memperkasa usahawan Bumiputra," ujarnya.
Selain itu, INSKEN akan memperluas penglibatan dalam ekosistem Perusahaan Sosial dan Perniagaan Inklusif (Sektor Ketiga) serta memperkasa elemen keusahawanan dalam program TVET dan Sejahtera MADANI, sekali gus menyokong pencapaian Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030.
Bagi memperkukuh imej dan ketampakan INSKEN di peringkat nasional dan global, Datuk Mustaffa Kamil berkata INSKEN merancang pelancaran Global Fellowship & Membership, pemeteraian MoU dengan institusi keusahawanan tempatan dan antarabangsa, serta sambutan 20 tahun INSKEN pada 2026.
"Suatu Seminar Usahawan Madani MEGA sedang diaturkan bersama IPTA melibatkan 50,000 peserta secara fizikal, dan dalam talian yang disasarkan untuk direkodkan dalam Malaysia Book of Records," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan bimbingan berterusan adalah kunci memastikan PMKS bukan sahaja mampu bertahan, malah berkembang sebagai perniagaan berdaya saing tinggi.
"Dengan tindakan susulan yang tepat, saya berharap usahawan hari ini akan menjadi sebahagian daripada generasi usahawan yang memacu kepada usaha mencapai sasaran penskalaan PMKS yang digariskan di bawah RMK-13," katanya lagi.





