Insken Dalam Peranan Membangun Usahawan Madani Global
- Suara Keadilan
- Jul 28
- 7 min read
Updated: Jul 31

Oleh: Mustaffa Kamil Ayub
ULASAN: Sesungguhnya kita amat bertuah kerana dapat bersama dalam momen yang bersejarah, mengorak langkah membangun usahawan Madani di Era Globalisasi.
Sejarah Empayar Melayu Melaka telah membuktikan bahawa orang Melayu merupakan pedagang, pelaut dan pahlawan yang handal. Ia bertaraf antarabangsa dengan pelabuhan Melaka dapat menampung 2,000 kapal dalam satu-satu masa, 61 bangsa ada di sana, 84 bahasa dipertuturkan serta teknologi perkapalan dan meriam yang terkehadapan sehingga menarik minat orang China, India, Arab dan kemudiannya Eropah.
Meilink Roelofsz merakamkan hakikat ini dengan ungkapan ,"...flocked together every year in Malacca, which was then the center of inter-Asian trade".
Tome Pires menyebut bahawa Pelabuhan Melaka ketika itu adalah sebuah pelabuhan tersibuk dunia. Duarte Barbados pula menyatakan Bandaraya Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang terbesar.
Menurut Fahmi Baharudin, kemajuan Melaka juga boleh diukur menerusi penguasaan dalam teknologi perkapalan, senjata api, penginapan, penjahitan dan pembungkusan.
Ringkasnya, hidup orang Melayu di waktu itu sebagai peniaga, usahawan dan pekerja dalam bidang perniagaan, perdagangan dan pelabuhan, memungkinkan bertunasnya kreativiti dan keberanian meneroka.
Rantau ini kemudiannya diganggu lebih 400 tahun oleh penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Sepanyol. Namun kini rantau ini menikmati lebih 60 tahun kemerdekaan, serta gelombang globalisasi yang dirasakan seantero dunia dengan pelbagai natijahnya, positif dan negatif, bergantung kepada pilihan dan saringan yang dibuat. Ia juga pastinya memberikan kesan kepada aktiviti keusahawanan.
Serentak dengannya, dunia berhadapan dengan pelbagai konflik, penghapusan etnik, Covid-19, perang perdagangan dan seumpamanya. Juga cabaran Post Normal Time (PNT), VUCAH (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity dan Hiperconnectivity).
Usahawan Madani dan ekonomi manusiawi
Dalam masa yang sama, memahami ekonomi manusiawi juga dalam kerangka besarnya, sewajarnya dihayati para usahawan Madani sebagai asas penting. Ekonomi manusiawi yang menekankan pembangunan manusia seutuhnya, penjagaan alam sekitar, tiada riba @ penindasan dan ekploitasi, pembelaan yang miskin, mengutamakan kebahagiaan hidup tanpa mengetepikan produktiviti, pertumbuhan dan keuntungan.

Daripada perspektif Islam, ekonomi manusiawi berakar daripada prinsip kemuliaan insan (karamah insaniah),: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak cucu Adam. Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan" (Al-Isra:70).
Realitinya, di peringkat global, lapan orang terkaya dunia menguasai pemilikan 3.6 bilion manusia. 1.9 bilion manusia mengalami obesiti, sedangkan 460 juta kekurangan zat makanan, 815 juta dalam kelaparan dan 2.2 bilion penduduk dunia masih belum mendapat air minuman yang selamat.
Dalam konteks ini, kata-kata sindiran pelopor kemerdekaan India, Mahatma Ghandi, amat bermakna untuk difahami, "The world is enough for everybody need, but not enough for one greed".
Justeru, usahawan Madani sesungguhnya adalah usahawan yang menghayati enam rukun Malaysia Madani dalam praktik keusahawanannya; Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Contohnya, dengan nilai ihsan, usahawan yang menghayatinya akan mengelakkan rasuah, riba, penyelewengan dan pembaziran kerana sentiasa merasakan Allah SWT memerhatikannya. Juga dengan nilai ihsan, semangatnya sentiasa mahu membantu orang lain dalam berkongsi rezki atau berkongsi ilmu keusahawanan.
Dengan penghayatan enam rukun Malaysia Madani juga, ia diyakini akan mampu melahirkan usahawan Madani yang berdaya tahan, berdaya juang, berdaya saing dan berdaya maju dalam perjuangan keusahawanan.
Sinergi ekosistem keusahawanan negara
Sesungguhnya, ekosistem keusahawanan negara kita amat menarik dan diwarnai oleh sekitar 66 agensi di bawah pelbagai kementerian dan Kerajaan Negeri. Apa yang perlu dipertingkatkan adalah penyelarasan, perkongsian maklumat serta langkah "connecting the dots and pillars, to form the frame".
Di peringkat Kabinet, Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dipengerusikan oleh YAB TPM, urusetianya di KUSKOP memainkan peranan proaktif menghubungkan pelbagai agensi. Sinergi ini juga dimantapkan lagi dengan inisiatif oleh Konsortium Usahawan Madani (KUSMA), dewan-dewan perniagaan seperti DPMM, DPIM, DPDDM, DPPM, NGO-NGO dan seumpamanya.
KUSMA sebagai contohnya, telahpun memulakan bersama UiTM one stop center, Global Madani Entrepreneurship Forum dan Seminar Usahawan Madani Bumiputra (SUMBU). Sesungguhnya, sinergi NGO dan swasta dalam membangun usahawan amat didambakan.
Dengan perkembangan teknologi yang kian canggih, chatGPT, AI dan seumpamanya, sewajarnya mampu membantu mempertingkatkan kemajuan keusahawanan walaupun ia juga tetap ada cabarannya.
Malaysia menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR di tahun 2020 dengan perlaksanaan MyDIGITAL. Terutamanya sewaktu Covid-19 dan selepasnya, penggunaan "online transactions" kian meningkat. Cabaran utamanya adalah antara lainnya, jurang digital bandar dan luar bandar, memastikan aktiviti pendigitalan yang benar-benar meningkatkan produktiviti ekonomi serta tidak disalahgunakan.
Di peringkat global pula ditandai dengan peningkatan e-dagang. Sebagai contohnya, Amerika Syarikat daripada AS$ 4.2 trilion di tahun 2022 kepada AS$ 6.5 trilion pada tahun 2023.
Dengan kepengerusiaan Malaysia di ASEAN 2025, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi, adalah diyakini iklim bisnes di ASEAN juga meningkat. Sewajarnya kesempatan ini diambil bagi semua usahawan melebarkan sayapnya di peringkat ASEAN dan seterusnya global. GO ASEAN, GO GLOBAL. ASEAN dengan 670 juta penduduknya merupakan pasaran yang luas. Rangkaian bersama Organization of Islamic Conference (OIC) dengan 57 buah negara serta 2 billion penduduknya. Manakala gabungan China dan India dengan 2.86 billion populasinya membentuk 60% penduduk dunia.
Dalam Bajet 2025, sejumlah RM3.8 bilion diperuntukkan bagi pembangunan usahawan, yang menyaksikan keprihatinan tinggi pihak Kerajaan Madani. Sudah pasti aspek penyampaian dan perlaksanaan merupakan hal yang penting supaya kemas, berimpak tinggi dan tiada kebocoran.
Seperti yang dimaklumi, bidang keusahawanan adalah ladang kepada "job creation". Bagaimana ingatan Nabi Muhammad SAW, 9 daripada 10 rezeki itu, datangnya daripada perniagaan. Sekaligus juga keusahawanan mampu menjadi medan dakwah kepada kebenaran dan keadilan yang ampuh. Sejarah para Nabi juga menyaksikan bahawa mereka adalah usahawan, pedagang dan pengembala.
Manakala R&D bersama universiti tempatan dan industri tempatan, universiti tempatan dan universiti-industri luar negara amatlah didambakan. Dengan sinergi kekuatannya, bagi negara umpama Indonesia, Thailand, China dan lain-lainnya akan mampu memacu keusahawanan ke tahap seterusnya. Sewajarnya hasil R&D tidak terbenam dalam timbunan buku atau di universiti tanpa dimasyarakatkan atau dikomersialkan.
Justeru, kolaborasi dan rangkaian dengan pelbagai pihak yang sesuai adalah suatu mekanisma menarik dalam mengembangkan potensi keusahawanan Madani.
Peranan Kuskop dan Insken
Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) adalah panduan utama yang berhasrat mewujudkan Masyarakat Malaysia sebagai Masyarakat Usahawan menjelang 2030. Dalam kerangka ini, seperti mana yang dimaklumi, ada 66 agensi di bawah Kementerian dan Kerajaan Negeri dalam ekosistem keusahawanan. Dalam keluarga Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai contohnya, terdapat 10 institusi bersamanya.
Sepuluh institusi tersebut adalah SMEcorp, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), PERNAS, PROTEGE, SME Bank, TEKUN Nasional (TEKUN), UDA, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Bagi INSKEN, mandat yang diberikan adalah pengendalian latihan dan bimbingan keusahawanan. Sepanjang tahun 2015 hingga 2024, seramai 125,391 usahawan telah melalui latihan INSKEN. Kolaborasi INSKEN juga dipertingkatkan bersama agensi-agensi KUSKOP, dewan-dewan perniagaan, NGO -NGO, MBM dan gabungannya, PERDASAMA dan gabungannya, ANGKASA, MENTIC, WAWASANITA, IPTA, IPTS, KPT, KPM, KBS, PUNB, CGC, Lembaga Zakat, Majlis Agama Islam, Tabung Haji, Perbadanan Negeri, Pusat NADI dan lain-lain. Manakala agensi-agensi lain KUSKOP lebih tertumpu kepada pemberian pinjaman dalam pelbagai skim dan sejumlah geran.
Universiti-universiti juga sejak sekian lama telah memainkan peranan proaktif dalam melahirkan usahawan yang berjaya. Antaranya di UiTM dengan pewujudan MASMED sebagai wadah mencanai bakat keusahawanan anak muda Bumiputra.
Sebagai contohnya usahawan berjaya UiTM antara lain adalah Datuk Khay, Pengarah Urusan Kumpulan ZIKAY dalam membina rangkaian hotel Tamu dan hartanah. Manakala En. Muhammad Zamry Abu Samah, Richiamo Coffee berjaya mewujudkan 222 outlets, dengan 1,000 pekerja dan kini mengembangkannya ke negara-negara ASEAN mulai 2025 dan global.
Bagi terus mendukung komitmen ini terhadap lahirnya usahawan-usahawan Madani cemerlang, KUSKOP/INSKEN menawarkan tajaan program latihan PROTEGE mahasiswa untuk sekitar 4,000 orang mahasiswa berjumlah RM4 juta di tahun 2024. Jumlah sentuhan keusahawanan PROTEGE ini juga ditambah dari tahun ke tahun berikutnya.
Langkah ke hadapan usahawan madani
Berlatarkan sejarah lalu yang gilang gemilang, semangat dan ketrampilan semasa yang digilap, serta optimisme masa depan yang cerah, kita lakarkan langkah-langkah kehadapan:
1. Membina rangkaian Bisnes ASEAN.
2. Mengembangkan Rangkaian Bisnes ASEAN+++++ seumpama OIC, BRICKS dll.
3. Mewujudkan Komuniti Bisnes Madani ASEAN-China berasaskan produk HALAL.
4. Mewujudkan Sekretariat Usahawan Madani Bumiputra (SUMBU), OSC (Pusat Sehenti Keusahawanan) & Rangkaian Usahawan Madani (RUM).
5. Menyemarakkan gerakan menggilap setting minda keusahawanan terutamanya dikalangan Bumiputra melalui latihan, bimbingan, kempen dan jaringan.
6. Menjadikan Global Madani Entrepreneurship Forum (GLOMEF) sebagai suatu acara tahunan
7. Meningkatkan bilangan usahawan Madani terutamanya bumiputra dengan pelbagai strategi dan pelan tindakannya.
8. Menjadikan Anugerah Usahawan Madani sebagai acara yang berterusan, malahan di peringkat ASEAN dan Global.
9. Mewujudkan Syarikat-syarikat Usahawan Perpaduan yang menggabung pelbagai kaum dalam satu-satu syarikat.
10. Menjadikan INSKEN sebagai institut keusahawanan ternama di peringkat ASEAN dan global melalui pelbagai aktiviti dan kolaborasi.
Secara khususnya, INSKEN di samping program-program latihan dan bimbingan yang sedia ada, juga menerokai beberapa inisiatif baharu sama ada pengantarabangsaan mahupun mengakarnya INSKEN.
Insken: Mengakar setempat, merimbun sejagat
Ini termasuklah Global Young Entrepreneurship Summit (GLOYES), Global Fellowship and Membership INSKEN, Pusat Usahawan Madani (PUMA) disetiap negeri dan daerah, Gerakan Membangun Usahawan Madani (GEMA), Anugerah Usahawan Madani INSKEN, memperkasa keusahawanan sosial (SE), memperkasa TVET melalui keusahawanan, mewujudkan rangkaian alumni INSKEN, meningkatkan pembangunan usahawan daripada 10,000 orang setahun kepada 20,000 orang setahun dan seumpamanya.
Seruan Al Quran, Ar Raad: 11, "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali mereka mengubahnya" seharusnya menghimbau motivasi usahawan Madani.
Presiden Korea Selatan di tahun 1970an sewaktu Almarhum Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia, dalam lawatannya terlihat khat Ar Raad: 11 di Bilik Gerakan Negara. Lantas sekembalinya beliau ke Korea, terus melancarkan Gerakan "Semaul Undung". Dua dekad berikutnya brand Korea benar-benar menguasai pasaran antarabangsa.
Sinergi semua pihak, usaha dan langkah yang tepat serta doa dan tawakkal kepada ALlah SWT adalah prasyarat kejayaan bersama. Suatu Revolusi Budaya (Cultural Revolution) amat diperlukan dalam membangun masyarakat usahawan Madani serta sasaran di tahun 2030, masyarakat Malaysia sebagai Masyarakat Usahawan Unggul.
Khusus buat usahawan, bersama kita tanamkan tekad untuk terus cemerlang dengan semangat terus belajar mempertingkatkan perjuangan keusahawanan. Belajar dari buaian ke liang lahat, Minal mahdi ilal lahdi, from cradle to grave yard, hou tao lao xue tao lao, kalvi pirapu muthal yirapu varai.
Kita simpulkan perbahasan ini dengan pantun Melayu,
Penduduk desa gigih bertani,
Di tepi bendang menjamu selera,
Bersama Membangun usahawan Madani,
Demi menyahut wawasan negara.
Penulis merupakan Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
Comments