top of page

Insiden 'terjerit-jerit' Serlah Kualiti Rendah Ahli Parlimen Pembangkang



Oleh: Noraini Nordin


ULASAN: Insiden di Parlimen pada petang Selasa lalu yang memperlihatkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin terjerit-jerit seperti diserang 'histeria' ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penggulungan Kajian Separuh Penggal RMK12 adalah sesuatu yang amat memalukan serta tidak seharusnya berlaku.


Ia memperlihatkan kualiti beliau yang rendah dan gagal mengawal emosi, sedangkan di Dewan Rakyat adalah medan untuk membentangkan idea, fakta dan hujah lawan dengan hujah.


Kejadian bermula sewaktu Anwar memberi penerangan mengenai isu Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas 47 pertuduhan mahkamah berkaitan dana Yayasan Akalbudi.


Datuk Seri Anwar mempertahankan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan prosiding di mahkamah, sambil mengatakan ia adalah keputusan jabatan berkenaan dan menafikan beliau campurtangan mengenainya.


Sikap pembangkang punca suasana kecoh


Ketika itu Radzi tergelak dengan jawapan Anwar.


Anwar kemudian membalas, "You boleh gelak... you boleh gelak Putrajaya, kerana you (pentadbiran PN) buat perkara itu.


"Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu," tambah Anwar lagi.


Kata-kata Anwar itu membuatkan Radzi segera membantah dan seperti naik angin, terus menjerit…."tarik balik, tarik balik."


Ahli Parlimen Putrajaya menjerit jerit dalam dewan dan dihalau keluar oleh Speaker TS Johari Abdul

Suasana kecoh berlarutan hampir 20 minit dengan Radzi terus mengulang-ulang perkataan "tarik balik, tarik balik", malah menyerang Perdana Menteri dengan kata-kata tidak sopan.


Apabila keadaan semakin tidak dapat dikawal dan beberapa Ahli Parlimen PN turut masuk campur, Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul kemudian mengarahkan Radzi keluar dari dewan.


Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin menunjukkan solidariti terhadap arahan kepada Radzi itu dengan meminta semua Ahli Parlimen PN meninggalkan Dewan Rakyat secara beramai-ramai.


Selepas Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan dewan, Anwar menyambung penjelasannya dengan merujuk kepada keadaan pentadbiran di bawah PN.


"Apa yang saya katakan itu benar, Putrajaya (Radzi) tahu (apa yang berlaku), dia adalah sebahagian daripada pentadbiran lama dan AG ‘lama’ (Idrus).


"Sebab itu dia (Radzi) tidak tahan mendengar penjelasan saya.


"Ini kerana mereka sudah biasa dengan sistem itu dan mereka fikir saya juga melakukan perkara yang sama," kata Anwar lagi.


Ketidakmatangan berhujah


Melihat apa yang berlaku dalam insiden itu, adalah jelas Ahli Parlimen PN, khususnya Radzi tidak menunjukkan kematangan ketika berhujah.


Beliau sepatutnya melawan hujah Anwar dengan hujah juga, bukan dengan menjerit-jerit dan mengungkapkan kata-kata tidak sopan terhadap Perdana Menteri.


Sudahlah Radzi tidak menunjukkan kematangan, Ahli-Ahli Parlimen PN lain yang turut menjerit juga memperlihatkan mereka mempunyai sikap yang sama.


Lebih buruk lagi, apabila Radzi diarahkan keluar oleh Speaker berikutan perlakuan tidak wajarnya itu, semua Ahli Parlimen PN secara sepakat juga meninggalkan Dewan Rakyat.


Ertinya, semua mereka tidak matang dan berkualiti rendah.


Kenapa mereka mesti keluar meninggalkan Dewan Rakyat mengikuti hukuman yang dikenakan kepada Radzi?


Di mana perjuangan mereka untuk membela nasib rakyat di Parlimen dengan bertindak emosi meninggalkan dewan?


Beberapa hari sebelum itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum itu mengumumkan tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan, telah membuat dakwaan bahawa peruntukan pembangunan untuk kawasannya telah ditarik balik sejurus beliau membuat keputusan tersebut.


"Saya mendapat pengesahan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bahawa sebaik sahaja saya sertai blok pembangkang, peruntukan telah ditarik balik, dikosongkan.


"Ini sama juga bagi semua Ahli Parlimen pembangkang, yang saya yakin, tidak mendapat peruntukan sehingga hari ini," dakwa Syed Saddiq.


Bagaimanapun, ketika menjawab isu berkenaan kemudiannya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen agar tidak mengeluarkan kenyataan yang bersandarkan ‘hear say’ atau dengar cakap di dalam Parlimen yang mulia.


Beliau menegaskan, kementeriannya tidak pernah sesekali menghentikan rancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri di Malaysia.


Ahli Parlimen ‘merengek-rengek’


Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, beliau tidak mahu ada Ahli Parlimen yang ‘merengek-rengek’ memberitahu bahawa mereka mendengar itu dan mendengar ini – sedangkan hakikatnya ia tidak benar sama sekali.


"Saya ingin tegaskan Kementerian Pendidikan tidak akan sekali-kali menghentikan tumpuan serta rancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri di Malaysia.


"Yang ada ialah kelewatan tertentu tetapi kita tidak pernah hentikan sebarang pembangunan.


"Jadi kalau nak jadi ahli yang berhormat, bertanggungjawab, masuk Dewan, kena pastikan fakta betul.


"Jangan masuk Dewan 'merengek-rengek' bagitahu 'hear say', saya dengar itu saya dengar ini, tapi tak betul.


"Kementerian Pendidikan akan memastikan semua projek yang kita laksanakan ada jaminan untuk disiapkan," tegas Fadhlina.


Ini baru dua contoh Ahli Parlimen pembangkang berkualiti rendah yang ada di negara kita.


Sampai bila mereka mahu berubah?


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page