Insiden Putra Heights: Selangor lanjutkan bantuan sewa hingga setahun
- Suara Keadilan
- Jun 5
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan lanjutan bantuan pembiayaan sewa rumah kepada mangsa kejadian letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya, daripada enam bulan kepada tempoh sehingga satu tahun, bergantung kepada tahap kerosakan kediaman masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bantuan sebanyak RM2,000 sebulan itu bertujuan memastikan mangsa mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa sehingga rumah mereka siap dibaiki atau dibina semula.
"Sebelum ini, bantuan diberikan untuk tempoh enam bulan. Namun, kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkannya sehingga setahun atau lebih, terutamanya bagi rumah yang mengalami kerosakan total dan perlu dibina semula.
"Bagi rumah yang hanya rosak sebahagian, bantuan akan diteruskan sehingga pemilik boleh kembali mendudukinya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Insiden letupan gas yang berlaku pada 1 April lalu menyebabkan kebakaran besar dan kemusnahan teruk di kawasan perumahan sekitar Putra Heights, termasuk pembentukan kawah sedalam 9.8 meter serta kerosakan ke atas lebih 400 unit kediaman.
Sebagai tindak balas segera, Kerajaan Negeri sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM2.73 juta untuk bayaran sewa rumah mangsa. Dengan lanjutan bantuan ini, jumlah keseluruhan dijangka melebihi RM4 juta.
Sementara itu menurut Borhan, setakat ini seramai 313 mangsa telah menerima bantuan sewa rumah bagi tempoh tiga bulan pertama, manakala bayaran kepada selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat.
Namun, katanya, lebih 100 mangsa masih belum menerima bantuan berikutan isu dokumentasi, termasuk kes di mana akaun bank digunakan atas nama pihak ketiga dan perlu disahkan terlebih dahulu.
"Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan kebajikan semua mangsa terpelihara dan mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin," tambah beliau.
Comentarios