top of page

Insiden Putra Heights: Bantuan baik pulih rumah adil, tiada layanan dua darjat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 5
  • 1 min read

ree

Kerajaan Selangor menolak keras dakwaan wujud layanan dua darjat dalam pemberian bantuan baik pulih rumah kepada mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, kadar bantuan kepada mangsa adalah berdasarkan tahap kerosakan rumah, tanpa mengambil kira lokasi kejadian.


"Kadar bantuan ditentukan melalui penilaian kerosakan rumah, sama ada ia rosak teruk sehingga RM300,000, rosak sederhana RM60,000, atau berada di antara dua kategori tersebut.


"Kalau rumah itu hanya mengalami kerosakan kecil, walaupun terletak di Putra Heights, kadar maksimum tetap RM60,000. Jadi dakwaan kononnya Putra Heights mendapat bantuan lebih besar daripada Kampung Kuala Sungai Baru adalah tuduhan liar yang tidak berasas," kata beliau dipetik.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Negeri Selangor yang dikendalikan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di Shah Alam pada Isnin.


Amirudin sementara itu memaklumkan media mengenai status baik pulih yang sedang berjalan.


"Mengikut laporan terkini Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), kerja-kerja baik pulih di Kampung Kuala Sungai Baru berjalan lebih pantas berbanding di Putra Heights yang kini mencapai tahap siap sekitar 22 hingga 24 peratus.


"Sebagaimana saya maklumkan dalam sidang DUN Selangor baru-baru ini, bahawa kerja-kerja pembaikan dijangka siap sekitar Oktober. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan membuat semakan semula sekiranya terdapat aduan berkenaan kelewatan proses," jelas beliau.


Dalam perkembangan berkaitan bayaran bantuan sewa rumah berjumlah RM2,000 sebulan kepada mangsa terjejas, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan bayaran tersebut hingga tempoh enam bulan.


Bayaran sewa untuk tiga bulan pertama sudah disalurkan dan bantuan sewa selama tiga bulan berikutnya akan disalurkan kepada 396 keluarga mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights pada Khamis ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page