
Pengundi terkejut apabila masih wujud kes identiti dipalsukan dan digunakan untuk membuang undi padahal celupan dakwat kekal telah diperkenalkan sejak lebih sedekad.
Hal berkenaan dilaporkan terjadi di beberapa tempat dan menimbulkan kehairanan kerana tidak mungkin penggundi sama boleh mengundi untuk kali kedua.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah, Melaka, Ginnie Lim Siew Lin beliau menerima aduan seorang pengundi Wong Mei Yong (gambar, atas) tidak dapat membuang undi apabila nama beliau dikatakan telah digunakan oleh pengundi lain ketika cuba mengundi petang tadi.
"Kami dimaklumkan ketua tempat mengundi Kad Pengenalan Puan Wong telah digunakan untuk mengundi. Tetapi bila kita semak jari dia, tidak ada apa apa tanda (dakwat). Puan Wong tidak dibenarkan untuk mengundi.
"Perkara ini amat mengecewakan. Jadi kami telah berunding dengan Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan cuba pertahankan hak undi Pn Wong. Kami isi borang 11 dan borang 10 (a) yang diisi KTM mengesahkan KTM enggan keluarkan kertas mengundi dan Wong belum mengundi," katanya.
Satu lagi kejadian berlaku di parlimen Lembah Pantai, melibatkan seorang lelaki India yang memperkenalkan diri sebagai Jaga.

Beliau mendapati identitinya telah digunakan oleh orang lain sedangkan jari beliau masih belum dicelup dakwat kekal.
"Saya mengundi untuk parlimen Lembah Pantai. Tempat mengundi saya di kawasan Sekolah Kebangsaan Petaling 1&2.
"Saya mendapati orang lain telah undi atas nama saya. Saya terkejut. Dikatakan nombor Kad Pengenalan tidak serupa tetapi telah diundi atas nama saya
"Saya akan buat laporan polis," katanya.