
Inisiatif Ramadan CSR Foodpanda Malaysia bersama rakan rakan amat dialu alukan dalam memberi bantuan kepada golongan memerlukan sepanjang Ramadan.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, beliau amat mengalu alukan usaha murni Foodpanda serta rakan korporatnya, Coca-Cola Malaysia, Viu, dan MyFund Action itu yang memulakan usaha mereka di parlimen Lembah Pantai.
"Hari ini, kita berkumpul di sini bukan sekadar untuk meraikan semangat memberi semasa Ramadan ini, tetapi juga menyaksikan impak hebat yang tercetus apabila pelbagai pihak berkepentingan berpadu tenaga untuk menyumbang kembali kepada komuniti tempatan seperti di Lembah Pantai.
"Pada bulan Ramadan yang suci ini, kepentingan bantuan makanan menjadi lebih jelas. Ini kerana terdapat ramai keluarga yang sedang bergelut untuk memenuhi tuntutan kehidupan mereka.
"Justeru, penyediaan ‘bakul makanan’ oleh Foodpanda dan rakan-rakan kongsinya merupakan sokongan yang amat berharga dan tepat pada waktunya," kata beliau di majlis Pelancaran Inisiatif Ramadan CSR Foodpanda Malaysia di Lembah Pantai, semalam.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berharap selepas ini lebih banyak syarikat korporat di Malaysia akan melakukan usaha serupa dalam menyantuni golongan rentan.
Beliau juga menyambut baik usaha Foodpanda dan rakan rakan CSRnya dalam meneruskan program berkenaan di seluruh negara.
"Saya turut gembira untuk mengetahui bahawa usaha murni Foodpanda dan rakan-rakan kongsinya tidak terhenti di sini.
"Mereka akan terlibat dalam satu skim pengagihan 5,000 bakul makanan di seluruh negara yang memberi manfaat kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
"Selain itu, saya juga teruja membawa berita baik tentang lanjutan usaha mulia ini, yang mengalu-alukan setiap anda untuk memainkan peranan.
"Sepanjang Ramadan, bagi setiap pesanan yang dibuat melalui aplikasi Foodpanda dengan kod “DERMA”, Foodpanda akan menyumbang kepada tujuan murni ini melalui perniagaan pandamart-nya.
"Jadi, marilah kita sama-sama mendukung usaha murni ini dan melangkah lebih jauh untuk membantu keluarga yang memerlukan," katanya.
Dalam majlis sama, Fahmi mengumumkan bahawa Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan bekerjasama dalam Program Simpanan SSPN Prime bagi anak kelahiran kawasan Parlimen Lembah Pantai bagi tahun 2024 sebanyak RM200 secara terus ke akaun SSPN dan RM100 secara one-off kepada ibu bapa.
"Rangkuman objektif kempen ini adalah untuk memastikan masa depan anak-anak Lembah Pantai untuk menangani kos pendidikan tinggi kelak.
"Serta program ini akan memudahkan para ibu bapa untuk membuat penyimpanan untuk masa hadapan anak-anak mereka," katanya lagi.
Comments