Inisiatif BINGKAS 3.0 diperluas untuk anak tanggung ibu bapa warga emas
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor terus menggandakan usaha bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu berada dalam keadaan terbaik.
Exco Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (gambar) berkata, sehubungan itu, Kerajaan Negeri bakal memperluas Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS 3.0) kepada ketua ketua isi rumah yang menanggung ibu bapa warga emas.
"BINGKAS 2.0 akan tamat pada Jun. Untuk fasa seterusnya, kita akan tambah syarat baharu bagi membolehkan anak susah dan menanggung ibu bapa layak terima bantuan RM300 sebulan.
"Walaupun Kerajaan Negeri ada sediakan baucar beli-belah RM150 kepada warga emas menerusi Skim Mesra Usia Emas, namun ada yang masih bergantung kepada anak-anak. Jadi kita mahu bantu isi rumah ini," katanya dipetik.
BINGKAS adalah program Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu meringankan kos sara hidup keluarga B40 dengan memberikan RM300 sebulan secara tanpa tunai (cashless) melalui e-dompet.
Sebelum ini, ia ditawarkan kepada keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tanggungan bawah 18 tahun selain merupakan warganegara dan bermastautin lebih 10 tahun di Selangor.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan inisiatif MamaKerja yang menawarkan bantuan kewangan RM100 sebulan selama setahun kepada ibu bekerja juga sebagai langkah meringankan kos beban penduduk bandar
"Walaupun BINGKAS tak mampu selesaikan masalah kos hidup, namun sekurang-kurangnya ia membantu keluarga berpendapatan rendah. .
"Usaha terbaharu ini dilihat mampu menampung keperluan rakyat memandangkan Selangor mencatat kos kehidupan wajar tertinggi berdasarkan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024," tambahnya.









Comments