Oleh: Abdullah Zaid
Individu yang tidak mengemaskini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mungkin akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan masih mempunyai kaedah alternatif yang boleh digunakan melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai agensi sektor awam.
"Ia termasuk kerajaan negeri dan tempatan, serta agensi syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) yang terdapat dalam Padu bagi membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin mengetahui apakah terdapat alternatif buat individu yang tidak dapat mendaftar dalam PADU selain jaminan kerajaan agar golongan berkenaan tidak ketinggalan menerima bantuan.
Mengulas lanjut, Hanifah berkata, sehingga 12 Mac 2024, PADU sudah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.
"Ia termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40 warganegara Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata
sebanyak 4,752 kawasan masih tidak mempunyai sebarang pendaftaran PADU mahupun apa-apa program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.
Jelasnya Selangor mencatatkan 1,282 kawasan belum diliputi pendaftaran Padu, diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 992 kawasan, Sarawak 765 kawasan, dan Sabah 620 kawasan.
Justeru, pihaknya sedang meluaskan penyertaan rakyat Malaysia untuk mendaftar PADU sebelum dijangka berakhir pada 31 Mac ini.
Comments