top of page

'Ikut draf Perlembagaan asal Agong ada kuasa pecat PM' - Dr Aziz Bari


Keengganan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk meletak jawatan meskipun telah hilang majoriti merosakkan imej kerajaan Malaysia di mata dunia.


Bagi pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, Perlembagaan negara tidak memperincikan dengan jelas manual bertindak dalam situasi PM enggan melepas jawatan seperti sekarang ini.


Bagaimanapun, katanya draf asal Perlembagaan Persekutuan pada 1956 ada memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong memecat PM.


"Saya sebut sebelum ini kalau ikut draf asal Perlembagaan tahun 1956 - 57 dahulu Agong boleh pecat PM yang hilang majoriti dan enggan meletak jawatan.


"Pada saya 8 Ahli Parlimen Umno (tarik sokongan) pun sudah cukup, sudah senget (PN jatuh). Maknanya ini (kerajaan PN) kerajaan yang hilang legitimasi," kata Dr Aziz dalam forum maya anjuran Angkatan Muda KEADILAN Johor, bertajuk "Sidang Parlimen : Keabsahan Kerajaan Muhyiddin Bakal Teruji?", malam tadi.


Menurut beliau lagi, hujah Peguam Negara bahawa kerajaan tidak tumbang merujuk Perkara 43 (2), 3 fasal 2.a Perlembagaan Persekutuan, menyatakan penentuan majoriti terhadap PM mesti dilakukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan bukannya melalui kenyataan presiden mana-mana parti tidak berbangkit kerana rujukan yang lebih tepat adalah fasal 4.


"Soal hujah Peguam Negara ini, sebenarnya peruntukan disebut beliau itu tidak berapa tepat. Yang lebih tepat dalam isu sekarang adalah fasal 4 mengatakan bahawa apabila seseorang PM itu telah hilang majoriti maka dia hendaklah meletak jawatan. Jadi memang sudah tidak ada keabsahan.


"Ada yang kata bila saya sebut ini (pengumuman Presiden Umno tarik sokongan ianya) hear say. Hear say macam mana kalau wartawan tunggu malam tu lepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di luar PWTC? Dalam video (Zahid Hamidi) pun ada, hear say macam mana?


"(Dalam hal ini) Peguam Negara berlindung di balik lalang sehelai. Dia dah tak boleh buat apa lagi. Orang nak tenggelam ni telinga pun dia paut. Jadi dia tak ada hujah lagi," katanya.


Tegas Aziz yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak, keabsahan amat perlu ditunjukkan dalam pentadbiran PM Mahiaddin kerana ianya merujuk hak atau syarat bagi pentadbiran untuk wujud, atau kekal dengan pentadbiran itu.


Katanya, tanpa keabsahan sesebuah kerajaan menghadapi kesulitan dari segi keberadaannya dan mungkin membawa kepada jalan buntu, keruntuhan atau hilang autoriti.


"Dalam kerajaan demokrasi ini keabsahan berdasarkan mandat rakyat. Berbeza dengan zaman sebelumnya, di mana kuasa memerintah didasarkan mandat dari Tuhan.


"Maknanya rakyat kena beri persetujuan. Ini menjadi masalah kepada pentadbrian Mahiaddin. Seorang ahli falsafah Robert A Dahl mengatakan keabsahan itu boleh naik turun. Ia mungkin boleh kering, boleh penuh dan sebagainya.


"Saya berasa yang tepat dengan pentadbiran Mahiaddin sekarang ialah sumber atau pun tahap legitimasi atau keabsahan itu sudah kering atau tidak pernah wujud," katanya.


Menjawab soalan moderator mengenai isu lompat parti atau beralih sokongan, ADUN Tebing Tinggi itu tidak bersetuju konsep beralih sokongan dianggap keji secara keseluruhan.


Katanya, dalam keadaan sekarang, melihat pentadbiran Mahiaddin yang cara marba maka sekiranya Ahli Parlimen mahu mengalih sokongan untuk membentuk kerajaan yang lebih baik, maka hal itu tidak menyalahi moral.


"Pada saya yang jadi masalah melihat perpindahan itu ada unsur jenayah atau tidak, rasuah, ugutan dan pelbagai perkara salah di sisi undang-undang.


"Kalau Ahli Parlimen berasa secara moral perlu menyokong kerajaan baharu atau pun menyokong sebuah kerajaan ada legitimasi. Itu bukan 'katak' namanya .


"Orang tak suka lihat MP melompat tapi kita harus ingat dalam keadaan tertentu melompat itu perlu. Saya tidak katakan baik tetapi dalam keadaan sekarang.... mungkin dulu dia dalam parti yang lain, bila tengok pentadbiran PN teruk, dia nak ubah dan balik bincang dengan pengundi dia. Pengundi kata pindahlah. Kalau begitu halnya saya melihat itu keadaan yang boleh diterima," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page