Bukan sahaja Ahli Parlimen pembangkang malah NGO Ikram tampil menyeru agar Parlimen bersidang segera bagi mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, semua pemimpin sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang harus mengenepikan segala kepentingan politik, parti mahupun peribadi demi membincangkan masalah rakyat dan negara di Parlimen.
"Ikram mahu mereka berusaha untuk berbincang secara objektif demi memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan beban masalah rakyat diselesaikan agar kesejahteraan dan pembangunan negara terus meningkat
"Ikram menuntut agar usaha menghidupkan ekonomi, keyakinan pelabur dan meningkatkan tata kelola yang baik diberi fokus demi kemaslahatan negara. Ini termasuklah memutuskan rantaian rasuah
“Ikram menyokong penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk mengembalikan peranan penting Parlimen mengikut Perlembagaan agar usaha dan langkah untuk membendung pandemik Covid-19 dan mengembalikan kesejahteraan negara dapat dirangka secara menyeluruh,” kata Parid dalam satu kenyataan.
NGO itu menjunjung kasih ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, yang menzahirkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri kelmarin.
Comments