top of page

Ibu bapa perlu jadi benteng pertama lindungi, bentuk sahsiah anak anak

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin
Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin

Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama dalam membentuk sahsiah dan tingkah laku anak, bukannya hanya menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada sekolah apabila timbul masalah disiplin.


Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin berkata, pembentukan sahsiah anak bermula dari rumah dan memerlukan penglibatan ibu bapa secara berterusan.


Menurutnya, ibu bapa wajar bermuhasabah apabila berdepan masalah disiplin atau tingkah laku anak, termasuk menilai semula pendekatan didikan yang diterapkan di rumah.


"Bila sesuatu berlaku, kita jarang bertanya, ‘Apa salah aku dalam mendidik mereka?’ Semuanya bermula dari rumah. Dari rumah ke sekolah, kembali kepada komuniti dan akhirnya kepada negara," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, rumah bukan sekadar tempat anak membesar, sebaliknya menjadi ruang utama untuk membentuk nilai, kasih sayang, adab, rasa hormat, amalan agama dan penampilan diri yang baik.


Katanya, perhatian ibu bapa juga tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu merangkumi rutin harian, pergaulan dan tingkah laku anak.


Dalam masa sama, Rozana berkata, penggunaan telefon bimbit dan peranti digital juga perlu diberi perhatian memandangkan anak-anak terdedah kepada pelbagai kandungan di media sosial.


Katanya, ibu bapa perlu memahami kandungan yang diakses anak serta keadaan ketika peranti digunakan, selain menggalakkan mereka meluangkan lebih banyak masa di ruang bersama keluarga.


"Komunikasi dua hala perlu berlaku setiap hari. Tanya bagaimana hari mereka di sekolah, sama ada mereka selesa dengan kawan-kawan dan guru.


"Anak-anak hanya kira-kira lapan jam di sekolah; selebihnya bersama ibu bapa atau penjaga," ujarnya.


Menurut beliau, masa bersama keluarga termasuk ketika makan juga tidak seharusnya dipandang ringan kerana meja makan boleh menjadi ruang untuk berbual, berkongsi masalah dan memberi nasihat kepada anak.


Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mengurangkan penggunaan telefon ketika bersama keluarga bagi memastikan perhatian diberikan sepenuhnya kepada anak.


Rozana berkata, membimbing anak tidak bermakna ibu bapa perlu mengongkong setiap tindakan mereka, sebaliknya anak perlu diberikan ruang untuk berfikir dan belajar daripada pilihan yang dibuat.


"Jangan sekadar berkata, ‘Dah besar, pandailah fikir sendiri.’ Anak perlu tahu kesan sesuatu perbuatan dan mempunyai bahu untuk bersandar apabila berdepan masalah," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, hubungan baik antara ibu bapa dan pihak sekolah perlu diperkukuh, khususnya apabila guru melaporkan masalah disiplin membabitkan anak.


Katanya, ibu bapa seharusnya mendengar penjelasan guru dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian, bukannya terus meletakkan kesalahan kepada pihak sekolah.


Rozana turut menekankan kepentingan ibu bapa peka terhadap perubahan emosi anak serta memilih pendekatan dan masa yang sesuai ketika menegur.


Menurutnya, tanggungjawab membesarkan anak juga perlu dipikul bersama kedua-dua ibu bapa menerusi pendekatan keibubapaan bersama.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan keluarga supaya berhati-hati dengan maklumat di media sosial yang mudah tersebar dan boleh menjadi bahan sensasi.


Beliau berkata, keluarga perlu meletakkan anak sebagai keutamaan kerana perhatian dan kasih sayang yang konsisten mampu membantu membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab.


"Letakkan anak sebagai keutamaan dalam keluarga. Beritahu mereka bahawa kita sayang mereka. Dengan didikan dan perhatian yang baik, kita membantu membentuk insan yang berguna untuk masa depan Malaysia," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page