top of page

Ibadah ramadan tahun ini lebih bermakna, namun waspada hindari Covid 19 - Anwar



Ibadah Ramadan tahun ini lebih bermakna kepada umat Islam Malaysia dengan berkurangnya secara drastik kes Covid 19 yang dimasukkan ke hospital, dan kembalinya cara peribadatan ke arah normal.


Bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat harus bersyukur terhadap kelonggaran beribadah yang diberikan namun wajar sentiasa waspada agar menghindari daripada tertulari virus Covid 19.


"Sudah tentu Ramadan tahun ini akan lebih dirasai tatkala tatacara solat berjemaah kita beransur-ansur kembali kepada keadaan sediakala. Waima demikian, nasihat saya buat semua agar kita sentiasa kekal berwaspada dan menjaga kebersihan untuk mengelakkan penularan virus ini semasa beribadat.


"Matlamat akhir ibadah puasa telah dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah SWT pada penghujung ayat 183 surah al-Baqarah: “la‘allakum tattaqun,” agar kamu mencapai darjat taqwa.


"Walhasil dalam soal hidup bermasyarakat, mengangkat nilai taqwa bererti menegakkan prinsip keadilan dan menggerakkan islah dalam tubuh umat demi menamatkan kezaliman. Ibadah puasa mengajarkan kita bahawa taqwa yang dituju sayugia merangkumi sisi kerohanian dan kemasyarakatan, atau yang diungkapkan oleh sarjana al-Qur’an Abdullah Yusuf Ali sebagai sisi “esoteric” dan “exoteric,”" kata Anwar dalam satu kenyataan.


Tegas Pengerusi Pakatan Harapan itu, ketika negara masih belum pulih ekonomi akibat pandemik, ibadah puasa akan dapat menyedarkan manusia peri pentingnya kelangsungan hidup dan saling bantu membantu sesama masyarakat yang kekurangan.


"Syariat yang telah mewajibkan umat ini untuk berlapar pada siang hari, telah mewajibkan mereka untuk bersungkai sehingga terhapuslah rasa lapar itu.


"Demikian ibrah kemanusiaan yang agung, kerana dalam sebuah negara yang rakyatnya terpaksa mengikat perut lantaran kekurangan wang, adalah menjadi tugas kita selaku jurubicara rakyat untuk melaksanakan dasar yang boleh menghapuskan rasa lapar mereka selaras dengan kehendak syariat.


"Sabda Rasulullah SAW: “Tidak tergolong dalam kalangan orang yang beriman mereka yang kenyang sementara jirannya kelaparan,”" katanya lagi.


Justeru, Anwar mendoakan agar tarbiah Ramadan menjadikan umat Islam malaysia lebih baik dan mencintai nilai kebenaran serta diterima ibadatnya oleh Allah SWT.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page