Hutang baharu negara berjaya dikurangkan kepada RM77 bilion
- Suara Keadilan

- Jul 21
- 2 min read

Kerajaan berjaya mengurangkan hutang baharu tahunan kepada RM77 bilion pada tahun lalu daripada RM99 bilion dua tahun sebelumnya, seiring dengan pengurangan defisit fiskal secara berperingkat, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata keadaan itu membolehkan kerajaan memenuhi keperluan pengurusan fiskal secara lebih berhemat dengan turut memberikan tumpuan kepada pembayaran faedah hutang lama.
"Hutang baharu yang kerajaan buat RM99 bilion pada 2022, turun kepada RM93 bilion pada 2023 dan pada 2024, jumlahnya adalah RM77 bilion... kuranglah tu.
"Mereka kata jumlah (hutang) keseluruhan yang lebih, masuk (sekali) dengan hutang lama dan bunga yang kita kena bayar tetapi saya kata kerajaan janji untuk kurangkan hutang baharu, itu kita sudah tunaikan," kata beliau dipetik Bernama pada majlis perjumpaan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pengurangan hutang baharu itu tidak menjejaskan usaha kerajaan untuk melaksanakan pembangunan negara.
Namun beliau melahirkan rasa kecewa apabila terdapat pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat bahawa kerajaan menambah hutang.
"Jadi seolah-olah kita menipu rakyat. Kalau lihat pada angka ini, siapa yang menipu?" kata beliau
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan berjaya menurunkan kadar defisit fiksal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024 manakala tahun ini ia disasarkan turun kepada 3.8 peratus.
Kata beliau pengurangan defisit dilakukan secara berperingkat agar tidak menjejaskan keyakinan pasaran dan pembangunan negara.
"Kita ambil alih pada 2022, defisit fiskal ketika itu 5.5 peratus. Apa itu defisit? Ia bermaksud perbelanjaan melebihi pendapatan negara, maknanya kita berhutang.
"Kita urus ekonomi negara macam ekonomi rumah tangga. Kalau pendapatan RM5,000 tetapi belanja RM7,000, itu defisit. Oleh itu, sekarang kita turunkan belanja kepada RM6,500, RM6,000, RM5,500 dan kalau turun mendadak, nanti (pembangunan) tidak boleh bergerak," kata beliau.
Dalam perkembangan sama Anwar merakamkan penghargaan kepada kakitangan awam apabila negara melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025, iaitu ke-23 berbanding 2024 (ke-34) susulan peningkatan prestasi ekonomi dan kecekapan pentadbiran.
Beliau memberitahu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan Misi Artikel IV bagi 2025 juga memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi fiskal termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).
"Maksudnya Menteri Kewangan menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Parlimen untuk menilai sekiranya tidak memenuhi sasaran. Kita lakukan begitu," kata beliau.









Comments