Percaturan KEADILAN meletakkan jeneral politik era Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, Datuk Husam Musa dianggap pemerhati politik akan mempunyai kesan tertentu ke atas mood pengundi negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut penganalisis politik Dr Mohd Amim Othman dari Madani Institute, terdapat kajian menunjukkan bahawa pengundi di Kelantan akan lebih kritikal kali ini terhadap Pas kerana selepas Langkah Sharaton parti itu telah menjadi sebahagian kerajaan pusat, namun katanya, tidak banyak kemajuan yang berjaya dibawa ke Kelantan.
Oleh itu, katanya, seawal penamaan calon kelihatan suasana pilihan raya kali ini agak kurang meriah berbanding sambutan para penyokong Pas pada siri PRU lalu.
Bagaimanapun, ujar Dr Amim yang meninjau suasana penamaan calon di Kota Bharu dan Pasir Mas, keadaan mungkin masih pada peringkat awal untuk melihat sokongan sebenar.
"Pakatan Harapan (PH) tak banyak bendera di hari pencalonan di Kota Bharu dan Pasir Mas. Namun dua kawasan ini bagi saya ada potensi PH membuat kejutan. Pertama di Pasir Mas calonnya Husam.
"Di Kota Bharu pula sokongan agak menarik kerana gerak kerja yang dilakukan Amanah di situ, termasuk isu pengambilan tanah belakang Masjid Muhammadi dan sebagainya," katanya.
Selain itu, kata Dr Amim, Pas ketika ini tidak seperti era Nik Aziz yang mempunyai imej kepimpinan mantap. Pemimpin Kerajaan Negeri selepas Nik Aziz, jelasnya kurang menyerlah.
"Aura Pas tidak macam dulu. Pas tidak mempunyai jeneral utama. Contohnya MB orang tak banyak bercakap. Tidak nampak kaliber dia. Nik Amar (Timbalan MB) menguasai kepimpinan, tetapi orang kurang suka. Ada banyak isu melingkari kerajaan Pas seperti isu kereta mewah, isu air Kelantan berkarat dan sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Amim tidak menolak kelebihan mungkin berpihak kepada PH kerana kali ini tidak ada pilihan raya negeri
Jelasnya, terdapat segelintir pengundi yang ditemui sedia untuk memberi sokongan berlainan bagi Persekutuan dan negeri.
"Nampaknya slogan mungkin akan berubah. Mungkin akan wujud slogan undilah PH untuk selamatkan negara. Jika nak selamatkan negeri pangkah Pas
"PH perlu diundi untuk selamatkan negara atau untuk hadapi kemelesetan ekonomi tahun hadapan. Hal ini mungkin menjadi perhitungan pengundi di Kelantan," katanya.
Bagi beliau PH memerlukan kemenangan di beberapa kerusi parlimen dari Kelantan untuk memastikan Umno tidak menang terlalu banyak dan mudah mencapai simple majority. Manakala penyokong PH mungkin mahukan Husam diangkat menjadi menteri Persekutuan sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan.
Comments