Hujan berterusan: Amaran tahap kuning di Pahang, Johor - NADMA
- Suara Keadilan
- Dec 27, 2023
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran tahap kuning iaitu hujan berterusan agar berwaspada bagi penduduk di Pahang dan Johor sehingga esok.
Notis itu melibatkan tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor membabitkan Segamat, Kluang, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam notis dikeluarkan pada pukul 12.30 tengah hari ini berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diarahkan untuk diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.
"Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK)mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan," kata kenyataan jabatan itu hari ini.
Kata kenyataan itu NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
Dalam pada itu, MET Malaysia dalam kenyataan dikeluarkan pada pukul 1.15 tengah hari tadi menyatakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian) dan Sabah melibatkan Sandakan, Telupid, Beluran dan Kudat sehingga pukul 4 petang ini.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
Comments