Hubungan parti Kerajaan Perpaduan di akar umbi perlu dikekalkan - PM
- Suara Keadilan
- May 20
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Hubungan dan kerjasama baik KEADILAN dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu terus dikekalkan bagi menjamin kestabilan politik negara, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata hubungan di peringkat akar umbi kadang-kadang ada ketegangan melainkan terdapat usaha bersungguh-sungguh dengan memahami dan saling menyantuni serta mendukung kegiatan parti masing-masing.
"Ada orang kata perseteruan yang panjang (sebelum kerjasama terjalin dalam Kerajaan Perpaduan)... betul tapi kita perlu ingat yang penting apa matlamat kita, keamanan dan sistem politik kukuh.
"Kalau sistem politik tidak kukuh bagaimana jentera, sistem dan dasar ekonomi kita akan dapat menarik pelaburan asing dan keyakinan orang ramai," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian pejabat Cabang KEADILAN Langkawi semalam.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata kestabilan politik wujud kerana terdapat kerjasama melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), meskipun parti tidak mempunyai majoriti.
"Sebab itu kita bekerjasama dengan parti yang ada prinsip dan sehaluan dengan kita," katanya sambil merakamkan terima kasih kerana UMNO dapat bekerjasama baik dengan KEADILAN di Langkawi.
Anwar berkata keyakinan yang ditunjukkan negara luar juga disumbangkan daripada hasil usaha penjawat awam dan agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti MIDA, MATRADE Dan Kementerian Luar.
Bagaimanapun, jelas beliau masih terdapat ruang untuk melakukan pembaikan dalam kerajaan kerana tidak semua keperluan yang dibangkitkan rakyat pelbagai kaum dapat dipenuhi.
"Masih ada harapan kita baiki, ini bukan menjadi masalah tetapi perbezaan pendapat tidak semestinya bermusuh, cuma dari semasa ke semasa kita selesaikan dengan baik," kata beliau.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia menjadi kukuh kerana perpaduan iaitu selain Melayu menjadi majoriti, terdapat kelompok lain seperti kaum Cina dan India perlu disantuni.
"Kalau ada sikap permusuhan kita tidak akan selematkan negara. Cuba sebut negara mana dengan sentimen kaum yang kuat boleh stabil dan menarik perhatian orang...tidak ada sebab itu susah macam mana pun kita kena selesai cari jalan.
"Ini yang kita lakukan dalam bina kerajaan perpaduan, ini sebabkan tidak boleh digoncang kekuatan kita terutama di Pusat, Parlimen boleh bentang apa-apa pindaan Perlembagaan termasuk [akta] yang agak sukar," kata sambil mengingatkan bahawa kerajaan tidak gunakan kekuasaan untuk merebut kekayaan.
Dalam pada itu, Anwar mahu Cabang KEADILAN di seluruh negara menghidupkan kegiatan parti dan menambah bilangan ranting dan keanggotaan bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-16.
"Dalam sistem politik KEADILAN, Cabang adalah terpenting, betul di peringkat Pusat kita tentukan dasar tetapi jentera akar umbi yang memahami masalah rakyat - pekerja, nelayan dan pekebun, apa yang mereka lihat santuni rakyat itu yang akan tentukan sama ada kita parti yang boleh menyuarakan aspirasi rakyat.
"Sebab itu saya harap selesai pertandingan Cabang, dapatkan balik kekuatan keseluruhannya supaya dapat kita terus memenuhi agenda kita," katanya.
Comments