Hubungan dengan AS perlu ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif - PM
- Suara Keadilan

- Jul 11
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) boleh dinaiktarafkan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Hal itu dinyatakan beliau selepas pertemuannya bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke kediaman rasmi perdana menteri, semalam.
Menurut Anwar, pertemuan berkenaan telah membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.
"Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar.
"Saya juga menegaskan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus oleh AS seperti yang diumumkan Presiden Donald Trump.
"Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia," katanya dalam muat naik di Facebook.
Tegas Anwar, beliau telah menyatakan untuk terus berunding dengan AS berkenaan isu tarif tersebut yang dianggap oleh komuniti perniagaan Malaysia terlalu tinggi dan menjejaskan daya saing produk negara ini.
"Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun," ujarnya.
Manakala pada akhir pertemuan itu, PM menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
"Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan," kata Anwar lagi.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia bermula Selasa lepas bagi menghadiri beberapa mesyuarat penting bersama pemimpin ASEAN dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.
Sepanjang lawatan itu, beliau dijadual menghadiri Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF).









Comments