top of page

Hormati proses kehakiman bagi kes sedang berjalan - David Cheong

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
28 minutes ago
2 min read
David Cheong Kian Young. Gambar arkib
David Cheong Kian Young. Gambar arkib

Pakatan Harapan (PH) menegaskan usaha membanteras rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa perlu dilaksanakan secara menyeluruh, bebas serta tanpa pilih kasih.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata, tiada mana-mana individu boleh mengatasi undang-undang tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau hubungan politik.


Beliau berkata, selaras dengan kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan pada 8 September lalu, kerajaan MADANI perlu terus memperkukuh tatakelola serta memastikan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa menjalani hukuman seperti diputuskan mahkamah.


"Bagi kes yang masih berjalan, proses kehakiman mesti dihormati dan diberikan ruang untuk diselesaikan secara bebas, adil serta teratur.


"Perjuangan membanteras rasuah bukan agenda politik bermusim, sebaliknya merupakan amanah bagi memastikan wang rakyat dikembalikan kepada masyarakat menerusi penyediaan perkhidmatan awam yang cekap dan berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.


Sebagai contoh kata David Cheong, sekiranya dana awam tidak dicuri, diselewengkan atau disalahgunakan, peruntukan tersebut boleh dimanfaatkan untuk menaik taraf kemudahan awam yang amat diperlukan oleh rakyat.


"Di Kajang, Hospital Tengku Permaisuri Norashikin yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Kajang, telah beroperasi sejak 1889 dan kini berusia 137 tahun.


"Sebahagian kemudahan di bangunan lama memerlukan perhatian segera. Berdasarkan aduan dan tinjauan di lokasi, terdapat pesakit yang terpaksa menunggu di kaki lima dalam keadaan panas kerana ruang menunggu serta sistem pendingin hawa tidak mencukupi.


"Manakala ketiadaan pendingin hawa di wad pula menyebabkan pesakit berdepan keadaan panas dan tidak selesa, terutama pada waktu malam.


"Tingkap terpaksa dibuka bagi mendapatkan pengudaraan, dan menyebabkan pesakit terdedah kepada gigitan nyamuk," ujarnya lagi.


Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor turut menegaskan, tempoh empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI perlu dilihat berbeza berbanding 65 tahun pentadbiran sebelum ini.


Justeru, rakyat wajar memberi ruang kepada kerajaan untuk menangani pelbagai isu secara berperingkat dan menyeluruh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page