Hormati keputusan Nurul, sokong Saifuddin, PRU-16 ujian getir pertahan MA63
- Suara Keadilan

- 10 hours ago
- 2 min read

Pemimpin masyarakat Murud dan anggota KEADILAN seumur hidup, Raymond Ahuar (gambar) menyeru seluruh ahli dan penyokong parti menghormati keputusan Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar serta memberikan sokongan kepada kepimpinan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Pada masa sama beliau berkata, pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden secara sementara diyakini mampu membantu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkukuhkan parti dan menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.
"Saya menyambut baik perlantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk menggalas tanggungjawab besar membantu Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin jentera parti ke hadapan.
"Pengalaman, ketokohan dan komitmen beliau dalam memperkukuhkan parti terbukti selama ini. Saya yakin dengan kepimpinan beliau bersama Presiden, KEADILAN akan menjadi lebih kuat, lebih berdisiplin dan lebih dekat dengan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raymond turut menyatakan penghormatan terhadap keputusan Nurul Izzah yang akan bercuti sementara dalam menyambung pengajian peringkat doktor falsafah.
"Saya menghormati keputusan Pahaka (saudari dalam bahasa Murud) Nurul Izzah Anwar yang telah membuat pendirian demi kebaikan parti. Semangat beliau berjuang bersama reformasi sejak awal adalah bukti kesetiaan kepada perjuangan," katanya.
Beliau pada masa sama menyeru ahli KEADILAN di Sabah dan seluruh negara supaya mengetepikan perbezaan dalaman serta memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti menjelang PRU-16.
"Tinggalkan perbezaan. Utamakan perjuangan.
"Sokong penuh kepimpinan Presiden dan Timbalan Presiden.
"Turun padang. Dengar suara rakyat. Menang PRU-16," katanya yang juga Presiden Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM).
Tegas Raymond, PRU-16 perlu dilihat sebagai medan untuk pengundi di Sabah mengekalkan Kerajaan Perpaduan demi menyelamatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, PM Anwar amat komited melaksanakan butiran dalam MA63 dan hal itu tidak berlaku jika kerjasama Pas-PN dengan Umno-BN memenangi PRU 16.
"Kita telah lihat bagaimana selama ini hak-hak Sabah sering dipinggirkan apabila parti-parti dari Semenanjung mengutamakan agenda sendiri.
"Hanya di bawah Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan Datuk Seri Anwar sahaja komitmen sebenar untuk memulangkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam MA63 (dilaksanakan). Jangan sampai undi kita di PRU-16 menggadaikan masa depan anak cucu di Borneo," katanya.
Beliau berkata rakyat Sabah tidak seharusnya membuat pilihan yang boleh menjejaskan kepentingan generasi akan datang di Borneo.
"Saya percaya di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar dibantu Datuk Seri Saifuddin, KEADILAN akan terus menjadi wadah perjuangan rakyat marhaen, termasuk suara masyarakat Murut dan pedalaman Sabah.
"KEADILAN untuk semua, kemenangan untuk rakyat, pertahan MA63," katanya lagi.




This is such an important update for our country's security! Improving language skills for officers is a great move. I need a quick break from reading news to play wiki escape tsunami for brainrots to relax my mind before getting back to more serious topics.