top of page

Hormat mandat pengundi, jangan sengaja kosongkan kerusi Parlimen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Ahli Parlimen dan wakil rakyat digesa supaya terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab dan khidmat kepada masyarakat selagi Parlimen belum dibubarkan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar) berkata, mereka perlu menghormati mandat yang diberikan pengundi sebelum membuat sebarang langkah politik peribadi, termasuk bertukar parti atau mengosongkan kerusi Parlimen.


"Saya tidak boleh memberikan respons kerana itu hak demokrasi masing-masing, namun kasihanilah rakyat dan pengundi yang mengharapkan wakil rakyat terus berada di lapangan untuk berkhidmat.


"Walaupun ada pihak yang mempunyai alasan tertentu, saya berharap mana-mana wakil rakyat yang mempunyai niat sedemikian dapat menyelesaikan dahulu tempoh perkhidmatan kepada rakyat selagi Parlimen belum dibubarkan," katanya dipetik sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa yang mengosongkan kerusi mereka untuk masuk parti baharu untuk tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Lompat Parti.


Azalina berkata begitu kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono di bawah Pusat Mediasi MADANI di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur pada Isnin.


Sementara itu, sebagai mengulas inisiatif yang dilancarkan itu beliau berkata, kerajaan mahu rakyat dan perusahaan kecil memperoleh penyelesaian pertikaian komersial lebih cepat tanpa perlu menunggu proses mahkamah yang mengambil masa bertahun-tahun.


Menerusi inisiatif tersebut jelasnya, sebarang pertikian bernilai RM250,000 dan ke bawah disasarkan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang lima hari.


Inisiatif dilancarkan itu melibatkan 26 jenis pertikaian komersial termasuk perkhidmatan, pembekalan, jual beli, hartanah, e-dagang dan ekonomi digital.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page