Keputusan tidak rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 menyaksikan calon Timbalan Presiden Mohd Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan lebih 10,000 undi.
Bagaimanapun dalam muat naik terbaharu di Facebook, Saifuddin telah mengucapkan tahniah kepada rakannya Rafizi Ramli.
"Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.
"Syabas juga diucapkan kepada semua yang terpilih Ketua Cabang, AMK dan Wanita Cabang dan Jawatankuasa.
"Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturrahmi. Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. InshaaAllah KEADILAN akan terus kuat," katanya.
Tambah beliau, sebagai Setiausaha Agung tanggungjawab seterusnya adalah untuk menganjurkan Kongres Nasional KEADILAN pada bulan Jun nanti
"Tugas saya masih tertumpu penganjuran kongres pada Jun ini. Kongres masih perlu berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan sesuai Akta Pertubuhan 1966.
"Sekitar 3 ribu perwakilan akan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat. Selesai proses ini Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden akan mempunyai satu barisan kepimpinan yang lengkap. Tugas saya bernoktah di situ," katanya lagi.
Saifuddin turut mendoakan kepimpinan baharu akan siap siaga untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke 15.
留言