Hipokrit: Perintah 33 bulan mengapa Pas tidak haramkan judi?
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Pas sepatutnya bertanya mengapa mereka tidak menghapuskan undang-undang perjudian ketika memerintah selama 33 bulan berbanding membangkitkan sentimen Kerajaan Madani 'tidak berani' perangi industri itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.
Aktivis Pakatan Harapan (PH), Syam Ghaz membidas Ketua Muslimat Pas, Nuridah Salleh yang membangkitkan perkara tersebut dengan melontar persoalan, adakah beliau tidak meneliti fakta sepanjang tempoh menjadi kerajaan sebelum ini.
"Kenapa masa Pas dalam kerajaan PN selama 33 bulan dulu, waktu (Tan Sri Abdul) Hadi jadi Duta (Timur Tengah), Tuan Ibrahim (Tuan Man) jadi menteri, Takiyuddin (Hassan) jadi Menteri Undang Undang dan Idris Ahmad jadi Menteri Agama, dengan lima lagi timbalan menteri tak haramkan 100% judi?

"Hipokrit! Time (masa) jadi pembangkang balik, baru nak salahkan kerajaan sekarang? Masa kamu jadi kerajaan tak buat (hapuskan judi)," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau mengulas laporan organ Pas, Harakahdaily yang menyiarkan berita: "Kerajaan Madani tidak berani perangi industri dosa?" dengan memetik kenyataan Nuridah semalam.
"Negara yang benar-benar madani bukan sekadar mematuhi undang-undang, tetapi berani memerangi industri dosa ini," kata beliau dipetik.
Pada 12 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu mengembalikan keputusannya untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri dengan alasan tindakan tersebut adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan majoriti itu dibuat oleh Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Dr Lim Hock Leng yang menyatakan rayuan berkenaan tidak mempunyai merit manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mempunyai pendapat berbeza.
Malah, Syam Ghaz berkata, ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan PN jumlah cabutan judi dinaikkan dari lapan kepada 22 kali.
Katanya ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu, jumlah cabutan judi itu diturunkan kepada lapan.
"Pas masa jadi kerajaan umum saja nak buat RUU355 (pindaan undang-undang bagi meningkatkan hukuman di mahkamah syariah) dan jadikan ia bola politik, zaman Madani yang buat kerja," ujarnya.
Jelas beliau Pas sebelum ini juga membangkitkan isu pakaian menutup aurat bagi pramugari namun tidak dapat dilaksanakan.
"Akhirnya zaman Madani juga buat pramugari AirAsia bertudung dan Malaysia Aviation Group (Amal) tutup aurat.
"Zaman Madani juga yang kawal gejala sosial dan budaya kuning di medsos untuk kawal di Internet, wajibkan umur 16 tahun," sinisnya.
Syam Ghaz menambah, zaman kerajaan sekarang turut memperkasakan tatakelola untuk membasmi gejala rasuah, suatu yang dituntut Islam.
"Pas menang empat negeri buat apa? Gejala sosial, masalah zina suka sama suka, dan moral naik mendadak," bidas beliau.





