Umat Islam Malaysia perlu menghindari pemikiran jumud dan taklid buta yang dipantakkan oleh segelintir ilmuan Islam taksub kepada aliran politik tertentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemikiran yang tidak bercambah atau diimbangi oleh pemikiran tokoh lain yang kritis akan menjurus bangsa ke arah ke arah ektremisme.
Oleh itu, beliau mahu umat mencontohi pemikiran Dr Siddiq Fadzil, mantan Presiden ABIM yang menjurus kepada budaya islah (reformasi) serta Madani dalam masyarakat.
"Saya ini tidak bias kerana kebetulan Siddiq itu sahabat karib, tetapi kerana pemikiran dia itu sangat relevan terhadap Masyarakat Madani, kuat berakar kepada budaya Melayu.
"Petah dalam penguasaan bahasa, mendalami Islam dan terbuka luas minda. Penggagas islah atau reform dan tidak terperangkap dengan pemikiran sempit kaum, atau jumud pemahaman agama.
"Seorang demokrat yang memahami demokrasi rakyat, bukan demokrasi sistem atau institut sebagaimana lazim difaham sekarang
"Sebab itu tokoh politik, parti politik boleh mengheret rakyat untuk mendukung fahaman mereka, sama ada dengan wang atau dengan ideologi sempit, tidak dengan fahaman lebih meluas," katanya dalam ucaptama di Seminar Fikrah Siddiq Fadzil: Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.
Anwar menambah, generasi muda perlu memahami percambahan ilmu serta tidak menganjurkan sikap walak mendukung pemikiran sesuatu kelompok tetapi perlu melihat kepada tafsiran Quran sebagai teras. Manakala Quran pula, katanya, mempunyai pelbagai tafsir dengan kefahaman mendalam.
"Terdapat tafsir profesional, tasawuf, moden dan sebagainya.
"Maka dalam usrah awal ABIM dipimpin oleh Dr Razali Nawawi dan Fadzil Noor, tentu diikat dengan tafsir yang lain tetapi dibawa juga al Qurtubi, Maududi, Syed Qutub, tetapi yang penting di sini ialah memahami agama dengan tradisi ilmu yang mantap
"Sebab itu saya kata, bahawa untuk berkecimpung dalam gerakan dan mendukung semangat perubahan dan mendukung negara Madani ia mesti berteraskan kepada keyakinan yang mendalam dan ilmu.
"Sebab itu dalam memahami Islam itu sendiri kita bawa kupasan yang cukup luas dari pandangan tokoh gerakan Islam termasuk Hassan al Banna kepada pemikir semasa. Kupasan dalam beberapa karya al Ghazai kemudian al Qaradawi. Juga mengambil kira pandangan di rantau ini, Mohd Iqbal yang menggagaskan pembaharuan yang lebih mendalam dan keperluan untuk menolak taklid, bukan kesemuanya, tetapi yang tidak berakar kepada sunah dan Qurah dan menganjurkan ijtihad.
"Kemudian di Indonesia tentunya Hamka, termasuk tafsir al Azhar yang gagah dalam korpus bahasa Melayu," ujarnya.
Ahli Parlimen Tambun itu juga menolak pemikiran Melayu yang terjajah seperti mitos pribumi malas yang menjadi propaganda penjajah melemahkan semangat menuntut kemerdekaan.
Namun diteruskan oleh tokoh pemikir selepasnya untuk membangun kesedaran Melayu secara yang khilaf.
"Kita terbawa, diheret dengan pemikiran penjajah termasuk pandangan mitos pribumi malas yang didukung oleh revolusi mental dan Malay Dilemma, mitos yang pernah disanggah lama sebelum itu oleh (tokoh kemerdekaan Filipina) Jose Rizal.
"Hal ini kalau teliti semula karya Siddiq itu sangat tepat untuk kita kaji dan relevan pada masa kini," katanya.
Selain itu, Anwar turut melahirkan kebimbangannya mengenai anak muda Malaysia yang terputus daripada karya karya sastera besar bangsanya.
Suatu sikap yang dibina beliau melalui penonjolan para sasterawan pada dekad 1990an namun telah dipadamkan secara sistematik oleh ahli politik selepas itu, untuk selama dua dekad kemudian generasi hari ini tidak lagi merasai kelazatan karya sastera serta kelembutan daripada pembacaan serta pemahaman budaya Melayu.
"Bicara soal apa? Kemiskinan, lara, soal perjuangan, gerakan kebangsaan awalnya, penindasan, semua itu diceriterakan. Diucap dengan bahasa yang terindah mungkin dalam sastera. Kalau generasi baru ini ini tidak merasakan kelazatannya, maka kita akan rasa kerugian," katanya lagi.
Comments