top of page

Hina Sultan Selangor: Kumpulan NGO lapor polis, cadang hukuman lebih berat

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 12 hours ago
  • 2 min read
Rani Kulup (dua dari kanan) dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Gombak
Rani Kulup (dua dari kanan) dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Gombak

Satu laporan polis telah dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NG0) berhubung penularan gambar suntingan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disifatkan sebagai penghinaan melampau.


Aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, tindakan individu terbabit yang berani mencabar kedaulatan dan Institusi Diraja perlu diambil tindakan tegas dan dikenakan hukuman berat kerana biadab.


"Tambah lagi hukuman (yang lebih berat). Kalau orang Melayu (yang menghina Raja), (sewajarnya) dikenakan hukuman berat dan dibuang negeri.


"Kalau dia (pelaku) bukan orang pribumi, bukan Melayu, orang Cina atau India dan lain-lain bangsa yang datang ke Malaysia (yang memperoleh status kewarganegaraan), kalau didapati bersalah, (dicadang) lucut kerakyatan dia.


"Polis digesa tangkap, siasat, dan bawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.


Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini yang turut disertai Ketua Pemuda UMNO Gombak, Mohd Shaffie Omar.


Mohd Shaffie menegaskan, perbuatan suntingan gambar melibatkan Sultan Selangor itu merupakan tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.


Katanya, perkara itu sering berlaku mungkin kesedaran yang ada pada mereka ini belum cukup atau undang-undang yang ada belum cukup untuk memberikan mereka kesedaran.


"Jadi, apabila berlaku lagi perkara seperti ini, kita minta pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih terperinci serta membawa mereka ini ke muka pengadilan dan sepatutnya memberikan hukuman yang lebih berat," katanya.


Terdahulu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi menggesa pihak berkuasa agar menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap satu akaun media sosial yang dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Najwan yang mengecam keras tindakan itu menyifatkan, ia jelas melampaui batas dan sangat biadab malah merupakan satu bentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian negeri serta negara.


Beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap hantaran tersebut yang disifatkan sebagai tindakan melampau, biadab dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page