Himpunan #TURUN anjuran beberapa NGO dan kumpulan pelajar ketika ini sedang bergema di hadapan kompleks membeli belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Himpunan yang bermula tepat pukul 2:00 petang itu disertai anak muda yang mengenakan baju T 'Pemuda" dan menghimpunkan beberapa pemimpin pelajar, aktivis sosial dan ahli politik dalam mendesak kerajaan menurunkan harga barang.
Lima tuntutan Himpunan #TURUN ialah i) Potong gaji Menteri; ii) Kekalkan subsidi; iii) Bantuan bermaruah; iv) Kawal harga barang dan v) Selesaikan isu jaminan makanan
Antara tokoh yang telah berucap termasuk timbalan pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan wakil wakil mahasiswa.
Abdullah Sani dalam ucapannya berkata kegagalan kerajaan hari ini hanya akan membebankan generasi akan datang terutama anak muda lepasan sekolah yang sukar mendapat pekerjaan dalam masa sama dihadap pula isu inflasi.
"Subsisi (harga barang) adalah perkara wajib. Apabila cukai dilakukan (dikutip) dan wang tidak dikembalikan kepada rakyat, iaitu ditarik subsidi maka ini menyebabkan semua barang keperluan naik mendadak.
"Ianya juga akan membebani anak muda lepas sekolah yang sekarang ini masih mengharap pekerjaan yang masih belum diperolehi.
"Saya rasai protes ini perlu terus dilakukan untuk memastikan hak anak muda, rakyat Malaysia terjamin. Ini kerana hasil negara dipungut tetapi tidak dipulangkan balik kepada rakyat," katanya.
Tambah Abdullah, himpunan seperti itu akan lebih banyak diadakan kerana kerajaan seolah olah tidak memahami derita rakyat yang masih belum pulih daripada gugatan ekonomi akibat pandemik Covid 19.
"Hari ini, inilah platform yang ada untuk kita pastikan hak kita dikembalikan.
"Saya percaya dan yakin selepas ini banyak lagi protes yang akan dilakukan untuk menyedarkan kerajaan bahawa kepentingan dan keperluan rakyat perlu diberi keutamaan, bukan hanya retorik semata mata," katanya.
Manakala, Sheikh Omar Ali pula menyelar kerajaan BN - PN yang mengabiskan banyak dana melantik duta khas yang tidak berguna sedangkan subsidi rakyat ditarik dengan sewenang wenangnya.
"Apa yang ada hari ini kerajaan main wayang, gaji menteri meningkat tinggi, duta khas yang tiada fungsi terus dilantik satu persatu.
"Kita mahu gaji menteri diturunkan. Sebab itu rakyat berkumpul di sini, anak muda, mahasisawa, peniaga barangkali mereka ada di sini tetapi yakin dan percayalah seluruh rakyat Malaysia sensara dengan kos sara hidup meningkat dan harga barang tinggi.
"Kita harap suara kita didengari di atas sana," katanya.
Himpunan #TURUN itu dihadiri sekitar 200 orang. Pada mulanya hanya di hadapan pintu utama Sogo tetapi kemudian himpunan melimpah ke tengah jalan Tunku Abdul Rahman. Bagaimanapun polis menghalang peserta berarak ke Dataran Merdeka dan himpunan bersurai pada pukul 3:00 petang.
Comments