'Himpunan Turun Anwar bermotif dendam politik, jatuhkan susuk PM'
- Suara Keadilan

- Jul 26
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN Cabang Tenggara menyifatkan penganjuran himpunan 'Turun Anwar' oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai tindakan bermotifkan politik dendam ke atas susuk perdana menteri, bukan usaha tulen untuk menyelesaikan isu rakyat.
Ketuanya, Fakharuddin Moslim menyelar kenyataan Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang secara terbuka mengakui bahawa himpunan itu bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya menukar kerajaan atau memperbaiki sistem pemerintahan.
"Kenyataan Afnan Hamimi jelas menunjukkan niat sebenar mereka. Ini bukan soal rakyat, bukan soal dasar, tetapi semata-mata serangan bersifat peribadi terhadap seorang individu," tegasnya dalam satu kenyataan.

Fakharuddin sementara itu menegaskan, serangan pembangkang terhadap Perdana Menteri adalah cubaan menggugat kestabilan politik, menjejaskan keyakinan pelabur serta mengganggu proses pemulihan ekonomi negara yang kini sedang rancak dipacu selepas kemelut politik 2020–2022.
"Rakyat menolak politik jalanan yang dijadikan PN sebagai alat merebut kuasa semata-mata kerana enggan menerima hakikat mereka telah ditolak rakyat," ujarnya.
Menurut beliau lagi, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dibuat secara sah melalui sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, bukan melalui jalan pintas pintu belakang.
"Jika pembangkang serius mahu menukar Perdana Menteri ia sepatutnya berlaku di Parlimen, bukannya jalanan.
"Persoalannya adakah PN mempunyai jumlah yang cukup untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen?" tanyanya.
Beliau turut mempersoalkan, sekiranya PM Anwar dijatuhkan siapa pula yang layak mengambilalih peranan beliau agar tidak mengulangi 'kerajaan gagal' pada era 2020 - 2022 lalu.
"PN hanya pandai menjatuhkan tetapi tidak pernah tampil menawarkan alternatif yang lebih baik kepada rakyat. Jika Anwar dijatuhkan, siapa gantinya? Mereka tidak pernah jujur menjawab persoalan ini," tegasnya.









Comments