
Pembangkang, terutama Pemuda PN menganjurkan Himpunan Selamatkan Malaysia semalam yang tidak mendapat sambutan warga kota Kuala Lumpur dengan kehadiran demonstran kurang 2,000 peserta.
Bagi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak, Chiew Choon Man, himpunan itu amat wajar tidak mendapat sambutan kerana tujuan penganjurannya tidak sejalan dengan apa yang diperjuangkan.
Katanya, himpunan tersebut jelas bertujuan untuk memalukan dan menjejaskan sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya disambut dengan penuh keharmonian dan semangat perpaduan.
"AMK Sarawak menghormati hak untuk berhimpun ke atas setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, namun Sambutan Hari Malaysia tidak sepatutnya dicemari dengan demonstrasi yang hanya bertujuan untuk mengaibkan atau menghina pemimpin negara.
"AMK Sarawak berpendapat menganjurkan perhimpunan protes pada hari yang bersejarah seperti Hari Malaysia adalah tindakan yang tidak menghormati semangat Hari Malaysia dan bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat.
"Hari Malaysia mempunyai martabat tinggi dalam sejarah dan merupakan simbol solidariti semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, atau pertalian politik," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, rakyat Malaysia tidak kira penyokong kerajaan atau pembangkang seharusnya merayakan pencapaian dan kemajuan negara sejak penubuhan Malaysia pada 1963. Bukannya berdemontrasi menentang kerajaan.
Oleh itu, beliau menyeru Pemuda PN untuk menghentikan segala tindakan dan kenyataan yang tidak membawa manfaat kepada negara malah menjadi dorongan untuk memecahbelahkan rakyat.
Katanya, dengan memilih Hari Malaysia sebagai tarikh tunjuk perasaan ia merupakan usaha menghalang menyuburkan perpaduan nasional, dan hanya mempromosikan kebencian dalam kalangan rakyat terutamanya anak muda.
"Kami menggesa Pemuda PN (selepas ini) untuk mencari saluran alternatif lain seperti dialog untuk meluahkan kebimbangan mereka. Melalui perbincangan bermakna dan pemahaman bersama, kita dapat menangani dan menyelesaikan isu-isu secara kolektif dalam memastikan kemajuan dan kemakmuran negara tercinta kita.
"Kami percaya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kepercayaan politik, sepatutnya memberi keutamaan kepada kesepaduan nasional di atas segalanya, terutamanya pada hari peristiwa yang begitu bersejarah ini.
"Kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan adalah penting kita memelihara ikatan yang menyatukan. Marilah kita terus bekerja bersama untuk mencapai Malaysia yang harmoni, inklusif, dan sejahtera," katanya lagi.
Menurut Ahli Parlimen Miri itu, AMK Sarawak tetap komited dalam mempromosikan kesepaduan, toleransi dan pemahaman dalam kalangan rakyat.
Beliau berharap agar perayaan Hari Malaysia benar-benar mencerminkan semangat solidariti dan inklusiviti yang mewakili rakyat seluruh negara.