Himpunan Al-Quds: Amanah kerah ahli demo 5 April
- Suara Keadilan
- Apr 4, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Semua pimpinan dan jentera parti Amanah dikerah untuk menyertai Himpunan Al-Quds pada Jumaat, 5 April ini yang dikendalikan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP).
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerahan itu selaras dengan kedudukan parti itu yang mendukung Islam sebagai asas perjuangan yang mementingkan prinsip keadilan dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Menurutnya, himpunan bersamaan 25 Ramadan itu bermula sejurus selesai solat Jumaat dengan himpunan bermula di hadapan Bangunan Tabung Haji di ibu negara dan beramai-ramai berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
"Himpunan Al-Quds adalah himpunan solidariti orang ramai kepada rakyat Palestin yang telah lama dizalimi zionis Israel.
"Sejak serangan 7 Oktober 2023 menyaksikan pembunuhan ke atas 32,782 rakyat Palestin, ianya bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan oleh rakyat Malaysia.
"Jenayah perang Isreal ini yang juga satu perlakuan genosid terang-terangan ini mesti dihentikan," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, masyarakat antarabangsa ketika ini perlu bangkit menyatakan bantahan dengan jumlah ratusan ribu berdemontrasi.
"Masyarakat antarabangsa hari ini bangkit menyatakan bantahan dengan jumlah ratusan ribu orang berdemontrasi menunjukkan perjuangan membela rakyat Palestin adalah isu kemanusiaan dan keadilan melangkaui agama dan bangsa.
"Oleh itu, bersama kita membantah genosid di Gaza dan melindungi kesucian Masjd Al-Aqsa," ujarnya lagi.
Comentarios