Amalan politik Malaysia yang berpaksikan kepada isu Agama, Kaum dan Raja (3R) perlu dihentikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Ketua Cabang KEADILAN Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz berkata, sempena Maal Hijrah yang disambut hari ini seharusnya calon calon yang akan bersaing dalam PRN kelak lebih terbuka memperdebatkan mengenai polisi dan kemajuan negara berbanding hal remeh temeh.
"Kita harus berusaha berhijrah ke arah amalan politik yang lebih matang dengan memperdebatkan idea-idea bernas seperti polisi pentadbiran, ekonomi serta pembangunan negara.
"Idea-idea seperti ini seharusnya diperdengarkan kepada para pengundi dalam mereka menilai kemampuan parti politik untuk mentadbir negeri dan negara.
"Kita akui, asas pembentukan negara serta kemerdekaan berakar umbi daripada kebangkitan kaum dan bangsa.
"Namun setelah tanah air ini merdeka sejak 66 tahun yang lalu, apakah masih tidak cukup doktrin-doktrin kononnya sesetengah kaum itu tergugat haknya di negara kita?" tanyanya.
Menurut Fikri lagi, politik berasaskan 3R hanya seronok didengar namun realitinya hal tersebut tidak berlaku di Malaysia.
Katanya, sejak 6 dekad lalu hak Melayu tidak pernah tergugat dan negara kekal aman damai sehingga ke hari ini.
"Isu kaum dibangkitkan hanya demi kepentingan politik Perikatan Nasional - Pas sedangkan apabila mereka berkuasa, tindakan serta tata kelola mereka sendiri tidak membayangi negara yang ditadbir berlandaskan agama Islam.
"Oleh itu, sempena tahun baharu Hijrah hari ini KEADILAN Putrajaya menyeru supaya kita kembali mengamalkan politik matang serta lebih berhati-hati khususnya sewaktu kempen politik agar tidak menyentuh sensitiviti 3R.
"Isu 3R mempunyai halangan yang tegas daripada pihak berkuasa kerana mudah memporak-perandakan keamanan dan keharmonian di dalam negara ini.
"Sedangkan Rasulullah SAW sendiri di dalam pentadbiran beliau, sentiasa bertindak adil kepada umat Islam serta bukan Islam di Madinah, kenapa kita tidak boleh," katanya lagi.
Tegas Fikri, rakyat perlu menunjukkan sikap mereka yang menolak politik adu domba pada PRN kali ini agar orang seperti Menteri besar Kedah dan yang seangkatan dengannya sedar politik pelampau tiada tempat di Malaysia.
Comentários