Hidang arak majlis kerajaan: Menteri MOTAC diberi peringatan keras - PM
- Suara Keadilan
- 13 hours ago
- 1 min read

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing telah diberi peringatan keras atas kecuaian membenarkan satu majlis berkaitan sebuah agensi di bawah kementeriannya menghidangkan minuman keras baru-baru ini, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri mengingatkan bahawa perkara seumpama itu tidak boleh berulang lagi memandangkan minuman keras dilarang disaji dalam mana-mana majlis kerajaan.
"Penjelasan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) ialah ini setelah selesai acara rasmi, tapi tempat dan majlis yang sama.
"Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir tetapi tidak wajar sama sekali," katanya dipetik media rasmi kerajaan
selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Anwar berkata Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan telah diingatkan supaya tidak cuai dalam menangani isu tersebut.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Tiong.
Beberapa gambar juga menunjukkan menteri berkenaan serta tetamu lain memegang gelas berisi wain dan bir.
Comments