top of page

Hiasan Krismas: Penjelasan Dr Zulkifli tepat, selari prinsip syariah - YADIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 22, 2025
  • 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong penuh penjelasan Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan, berhubung kekeliruan isu hiasan perayaan Krismas di hotel dan premis makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).


Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu adalah tepat, berfakta dan selari dengan prinsip syariah serta realiti masyarakat majmuk negara ini.


"Keputusan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2023 jelas bahawa pensijilan halal Malaysia kekal terpelihara dan tidak terjejas, selagi prinsip Halalan Toyyiban dipatuhi sepenuhnya.


"YADIM menekankan bahawa konsep halal perlu difahami secara menyeluruh, merangkumi sumber bahan, proses, kebersihan, pengurusan dan rantaian bekalan—bukan sekadar simbol atau hiasan," katanya menerusi satu kenyataan.


Dr Zulkifli baru-baru ini menjelaskan, tiada larangan dikenakan kepada pemegang SPHM untuk menggunakan imej, ilustrasi atau hiasan berkaitan perayaan agama selain Islam selagi tidak menjejaskan prinsip halalan toyyiban.


Beliau berkata, penggunaan dekorasi, imej, hiasan dan ilustrasi perayaan bukan Islam yang bersifat tidak kekal pada produk makanan adalah dibenarkan namun menegaskan penggunaan peralatan sembahan tidak dibenarkan, manakala dekorasi dan hiasan premis tidak boleh membabitkan paparan SPHM serta imej logo halal SPHM.


Dalam pada itu, YADIM turut menyifatkan pendekatan berhemah diketengahkan oleh Dr Zulkifli turut berperanan mendidik masyarakat agar menangani isu berkaitan agama dengan ilmu, hikmah serta adab berbeza pandangan, khususnya dalam konteks negara berbilang kaum dan agama.


Justeru, semua pihak termasuk pemain industri dan masyarakat umum, diseru merujuk kepada pihak berautoriti agama bagi mendapatkan penjelasan sahih mengenai sesuatu isu bagi mengelak polemik sehingga menggugat keharmonian masyarakat.


"Dalam mempertahankan prinsip Islam, sikap saling menghormati budaya dan agama lain perlu bergerak seiring, tanpa ekstremisme atau prejudis yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.


"Sebagai institusi dakwah, YADIM melihat isu berkenaan sebagai peluang untuk memperkukuh kefahaman umat Islam mengenai makna sebenar halal, di samping memelihara keharmonian masyarakat serta kestabilan negara, selari aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebijaksanaan, ihsan dan keadilan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page