top of page

Heret segera Israel ke ICJ, hukum atas jenayah perang bunuh wartawan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 26
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam keras tindakan berterusan rejim Israel membunuh wartawan di Gaza yang disifatkan sebagai jenayah perang paling keji dan perlu segera dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).


Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata serangan udara terbaharu Israel di Hospital Nasser, Khan Yunis yang meragut nyawa empat wartawan meningkatkan lagi jumlah pengamal media yang dibunuh kepada 244 orang sejak perang genosid itu bermula.


Korban terbaru adalah Hussam Al-Masri (Reuters), Mohammed Salama (Al Jazeera), Mariam Abu Daqa (Independent Arabia & AP) dan Moaz Abu Taha (NBC News).


“Ini bukan kerosakan sampingan. Ini adalah pembunuhan terancang untuk membungkam saksi jenayah perang dan menutup kebenaran daripada dilihat dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

Menurut MAPIM serangan terhadap wartawan jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Geneva dan merupakan serangan terus terhadap kebebasan media serta hak masyarakat global untuk mengetahui kebenaran.


Justeru itu, Mohd Azmi berkata MAPIM mendesak agar Israel didakwa segera di ICC atas jenayah perang sistematik termasuk pembunuhan sengaja wartawan.


"Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Perancis turut bersubahat kerana terus membekalkan senjata, dana serta perlindungan diplomatik kepada Israel," tegasnya.


Kata beliau badan kewartawanan antarabangsa seperti International Federation of Journalists (IFJ), Reporters Without Borders (RSF) dan kesatuan media nasional perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar kecaman sebaliknya melancarkan kempen tekanan, tindakan undang-undang serta sekatan terkoordinasi terhadap rejim Israel.


"Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti mengadakan sidang tergempar bagi menuntut perlindungan khusus untuk wartawan di Gaza dan menggubal resolusi yang mengikat bagi memastikan akauntabiliti, katanya.


Mohd Azmi menegaskan, pembunuhan wartawan bukan sahaja tragedi rakyat Palestin malah ia merupakan serangan ke atas komuniti antarabangsa secara keseluruhan kerana ia mencabul hak asasi untuk mendapatkan maklumat benar.


“Sejarah akan mengingati bukan sahaja kebiadaban Israel, tetapi juga pengecutnya negara-negara yang berdiam diri.


"Darah wartawan akan kekal mencemarkan hati nurani mereka yang mendakwa sebagai pembela hak asasi tetapi memilih diam daripada menegakkan keadilan,” tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page