top of page

Heret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa - Wisma Putra



Oleh: Helmi Mohd Foad


Kementerian Luar sedang memainkan peranan aktif dalam membantu mendesak masyarakat antarabangsa membawa isu kekejaman Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).


Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata, meskipun Malaysia bukan anggota Statut Rom ICC, negara ini masih boleh menyokong desakan masyarakat antarabangsa untuk membawa Israel ke muka pengadilan berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.


"Peranan itu termasuk kerjasama secara ad-hoc dengan Pejabat Pendakwa Raya ICC bagi menyokong siasatan selain membantu dari segi menyampaikan dokumen-dokumen perundangan atau memudahkan kehadiran saksi sukarela yang boleh menyokong kes itu apabila dikemukakan di ICC nanti," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noraini Idris mengenai peranan Malaysia dalam isu kekejaman Israel di Palestin.


Mohamad berkata kerajaan juga telah mengemukakan kenyataan bertulis atau pandangan Malaysia yang diperlukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kesan kekejaman Israel terhadap Palestin pada 25 Julai lepas.


"Insya-Allah kita juga akan mengambil bahagian dengan mengemukakan penyerahan lisan untuk tampil di ICJ pada 19 Februari tahun depan.


"Ini merupakan antara komitmen jitu negara untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menyokong desakan masyarakat antarabangsa untuk mengheret Israel ke muka pengadilan," katanya.


Sementara itu, Dewan Negara membenarkan usul tergempar isu membantah dan mengecam kekejaman serta kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dibahaskan petang ini.


Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar Wan Junaidi berkata usul yang dikemukakan oleh Senator Hussin Ismail di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1) itu dibahaskan selama satu jam bermula pukul 4.30 petang.


Beliau berkata pihak pencadang dibenarkan berbahas selama 10 minit, diikuti perbahasan oleh Ahli Dewan Negara yang lain sebelum pihak kerajaan mengemukakan jawapan.


Katanya perkara ini adalah perkara tertentu, ia adalah bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.


"Oleh yang demikian saya membenarkan usul ini dibahaskan di dewan bermula 4.30 petang hingga 5.30 petang," katanya.


Tentera Israel meneruskan keganasannya di Semenanjung Gaza pada Jumaat lalu sebaik tempoh gencatan senjata selama seminggu dengan pergerakan Hamas berakhir.


Setakat ini hampir 16,000 rakyat Palestin terkorban termasuk kanak-kanak manakala lebih 40,000 cedera akibat serangan udara dan darat bertubi-tubi tentera rejim Zionis Israel.


Pada 7 Oktober lalu Hamas melancarkan operasi Taufan Gaza secara mengejut ke atas kawasan pendudukan Israel di luar Gaza buat kali pertama hingga membuatkan rejim itu membalas dengan melancarkan serangan kejam ke atas rakyat Palestin.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page