top of page

Henti segera penebangan hutan di Hulu Sarawak, elak banjir besar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 minutes ago
  • 2 min read

Sebelum ini hutan Hulu Belaga telah ditebang habis dan menimbulkan risiko banjir besar sekiranya hujan lebat
Sebelum ini hutan Hulu Belaga telah ditebang habis dan menimbulkan risiko banjir besar sekiranya hujan lebat

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan digesa menghentikan segera aktiviti penebangan hutan di kawasan hulu sungai Sarawak dan menguatkuasakan perlindungan Hak Adat Orang Asal (NCR) tanpa kompromi.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit menegaskan, penebangan hutan bukan hanya isu masyarakat Orang Asal, sebaliknya melibatkan semua rakyat Sarawak kerana apabila banjir besar apabila berlaku, ‘air’ tidak memilih mangsanya.


"Kita tidak boleh tunggu sehingga ada rumah dihanyutkan, anak kecil menjadi korban, kampung lenyap sekelip mata kemudian barulah kita hendak membuka mata.

Abun Sui Anyit
Abun Sui Anyit

"Tindakan mesti berlaku sekarang dan bukannya esok. Saya menyeru pemimpin, NGO, masyarakat sivil dan seluruh rakyat Sarawak untuk bersatu mempertahankan tanah, hulu sungai dan hutan kita.


"Demi keselamatan negeri ini. Demi identiti kita. Demi generasi yang sedang membesar dan yang bakal lahir.


"Jika kita gagal hari ini, anak cucu kita akan bertanya kenapa kita biarkan semuanya hilang? Kitalah yang bertanggungjawab memastikan mereka tidak pernah perlu bertanya soalan seperti itu," katanya dalam satu kenyataan.


Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang berkata, hulu sungai merupakan benteng alam yang mengawal aliran air, melindungi tebing sungai dan meneguhkan struktur bumi dan pokok ialah penjaga yang menyerap hujan lebat dan menahan tanah daripada runtuh.


Katanya, apabila ‘penjaga’ itu ditebang secara rakus, sungai menjadi liar, banjir menjadi ganas dan nyawa manusia menjadi taruhan.


"Saya amat bimbang dengan penebangan hutan oleh syarikat tertentu di hulu sungai Sarawak. Kepupusan kawasan tadahan air ini bukan sahaja membawa risiko banjir, tetapi juga mengancam hak dan kehidupan masyarakat Orang Asal.


"Kita mesti menghormati NCR, bukan sekadar sebagai hak undang-undang, tetapi sebagai hak kehidupan.


"Masyarakat Orang Asal bergantung sepenuhnya kepada hutan dan sungai, di situlah sumber makanan, air, ubatan, budaya dan masa depan anak-anak mereka.


"Hutan ialah pasar mereka, sungai ialah jalan mereka, tanah ialah jiwa mereka.


"Jika hutan dan sungai dimusnahkan, maka musnahlah juga sumber rezeki, identiti dan maruah mereka sebagai penjaga alam sejak turun-temurun," kata Abun yang juga Pengerusi Biro NCR MPN Sarawak.


Untuk rekod, penebangan hutan sebelum ini menyebabkan beberapa kawasan rendah dilanda banjir.


Rakyat Sarawak tidak mahu tragedi dahsyat meragut nyawa ratusan mangsa sebagaimana berlaku di Sumatera, Indonesia terjadi di Sarawak akibat penebangan hutan yang tidak terkawal di hulu sungai.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page