
Wanita KEADILAN Sarawak menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap beberapa pengguna media sosial yang melemparkan kata-kata kesat kepada beberapa pemimpin wanita baru-baru ini.
Malah, terdapat seorang individu yang menggunakan kata-kata yang tidak senonoh, menghina dan memperlekehkan seorang ahli parlimen wanita.
Selain itu, terdapat poster yang menghasut untuk menghina beberapa ahli politik wanita dari golongan pembangkang.
"Perbuatan ini merupakan penghinaan terhadap kami kaum hawa, wanita dan ibu-ibu, seolah-olah begitu rendahnya martabat kami di mata individu-individu tersebut.
"Tindakan dan kenyataan seperti ini tidak wajar sama sekali dan tidak harus dibiarkan.
"Kami menentang sama sekali apabila seorang wanita itu dipandang dan digambarkan sebagai bahan seks dan subjek perbualan lucah. Ini juga merupakan satu tindakan agresif mengancam dan menghina semua kaum wanita.
"Kami Wanita KEADILAN Sarawak, menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang ke atas individu berkenaan," menurut kenyataan tersebut.
Wanita KEADILAN Sarawak juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKM) supaya mengambil tindakan terhadap individu-individu berkenaan dan memastikan perbuatan sedemikan tidak berulang.
"Dalam Islam tindakan individu tersebut menghina dan menjatuhkan martabat wanita seperti in dilarang sama sekali.
"Setiap lapisan masyarakat mesti bertindak menghentikan ancaman terhadap kaum wanita kerana ia tidak menggalakkan penyertaan wanita dalam politik dan merupakan serangan terhadap proses demokrasi dan pentadbiran telus di negara kita," katanya.
Comments