Henti fitnah Nurul Izzah, ibadah haji bukan bahan cercaan
- Suara Keadilan
- Jun 12
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Penyebaran fitnah terhadap Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar dan suaminya berkaitan urusan pelaksanaan ibadah haji mereka baru-baru ini merupakan satu perbuatan keji serta bermotif politik murahan.
Ketua Cabangan KEADILAN Kepala Batas, Zainuddin Mohamed, berkata ibadah haji tidak seharusnya menjadi bahan cercaan sebaliknya perlu dihormati dan menyanjung tinggi kepada mereka yang berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu.
"Saya, selaku Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas mengecam sekeras-kerasnya penyebaran fitnah dan tohmahan jahat terhadap Nurul Izzah berhubung pelaksanaan ibadah haji beliau dan suami baru-baru ini.
"Tuduhan kononnya beliau menggunakan jet peribadi dan kemudahan mewah yang ditaja adalah satu fitnah keji dan tidak berasas yang jelas bermotif politik murahan untuk mencemarkan imej beliau sebagai pemimpin muda yang berprinsip, berintegriti dan bersederhana," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainuddin berkata, Nurul Izzah sendiri telah menjelaskan bahawa beliau dan suami menunaikan ibadah haji menggunakan wang simpanan peribadi melalui agensi pelancongan berlesen dan menggunakan visa mujamalah yang sah.
"Beliau dan suami menaiki penerbangan komersial biasa, bukan jet peribadi seperti yang difitnah," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar semua pihak yang telah menyebarkan kandungan palsu tersebut menarik balik dan memadamkan hantaran fitnah berkenaan serta memohon maaf secara terbuka.
"Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian dan fitnah yang semakin berleluasa.
"Politik matang memerlukan fakta, hujah dan adab, bukan kebencian dan pembohongan," katanya.
Comentários