Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu umat Islam Malaysia menghayati peristiwa agung Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w yang diuji dengan kematian isterinya Khadijah serta bapa saudara Abu Talib ketika Baginda diangkat ke langit.
Menurut Anwar, meskipun Nabi Muhammad dihina dalam menyampaikan dakwah di Taif namun tidak melemahkan semangatnya, dan pulih kembali selepas pulang dari Sidratul Muntaha membawa perintah umat Islam mengerjakan solat 5 waktu.
"Maka, bermulalah kewajiban solat lima waktu selaku tonggak perhubungan abadi antara hamba dengan Penciptanya. Akidah dan akhlak harus diperteguh sebelum umat tampil memikul kewajiban yang lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara.
"Justeru di samping mengenang peristiwa agung ini, sama-sama kita memperbaharui tekad serta menginsafi ibrah daripada pengalaman junjungan tercinta Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam untuk bangkit dengan lebih bertenaga, memulihkan maruah serta meningkatkan martabat dan harakat rakyat.
"Semoga negara kita akan terus beroleh keredaan Allah SWT," kata Anwar dalam perutusan sempena Israk dan Mikraj yang jatuh pada hari ini.
Comments