Hasil cukai 40%: PMX mahu situasi menang-menang, Sabah, Persekutuan
- Suara Keadilan

- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Tiada Perdana Menteri sebelum ini yang memberikan perhatian dengan tekad sepertimana dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) terhadap Sabah, khususnya dalam isu hak 40 peratus hasil cukai di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Misi MAPIM Rantau Asia Tenggara, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.
Menurut beliau, rekod pentadbiran lampau menunjukkan bahawa tuntutan rakyat Sabah sering diketepikan dan tidak pernah dibangkitkan secara serius di peringkat pusat, namun, situasi itu berubah apabila kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara.
"Perdana Menteri kita telah menunjukkan kesungguhan, komitmen dan peruntukan yang jelas kepada kerajaan negeri Sabah. Perdana Menteri sebelum ini seolah-olah menganaktirikan Sabah dan tidak memandang serius tuntutan mereka.
"Di bawah kerajaan Madani, Sabah bukan sahaja diberi perhatian politik, malah menerima peruntukan besar termasuk RM300 juta sebelum ini dan tambahan RM600 juta yang diumumkan baru-baru ini," kata Fakhrulrazi yang juga mantan ADUN Meru kepada Suara Keadilan.
Justeru beliau menyeru rakyat dan kerajaan Sabah untuk bersabar, bukan dalam erti kata menunggu tanpa tindakan, tetapi bersama-sama memantau dan membantu kerajaan pusat.

"Kita mahu realisasi MA63 dalam keadaan baik dan win-win, bukan keadaan yang menekan mana-mana pihak. Rakyat Sabah perlu membantu kerajaan pusat memastikan perjanjian itu dilaksanakan dengan kemampuan sebenar negara.
"Tindakan pihak tertentu yang cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan Madani bukan sahaja tidak berasas, malah boleh memberi kesan buruk kepada rakyat Sabah sendiri.
"Perdana Menteri hari ini paling banyak memberikan tumpuan kepada Sabah. Itu fakta. Jadi kita tak faham kenapa masih ada yang mahu mencetuskan persepsi buruk yang akhirnya akan memudaratkan rakyat Sabah," tegasnya.
Beliau menjelaskan, kejayaan pelaksanaan MA63 bukan hanya bergantung kepada jumlah dana tetapi kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menguruskan dana tersebut.
"Yang paling penting ialah siapa yang menguruskan duit itu. Kita nak pastikan ia diurus dengan telus, amanah dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat. Itu yang Perdana Menteri tekankan tatakelola yang betul," katanya.
Dalam pada itu Fakhrulrazi turut menekankan pentingnya Sabah mempunyai kepimpinan yang selari dengan kerajaan pusat bagi memastikan peruntukan, pemantauan dan pelaksanaan dapat berjalan lancar.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan Madani mewarisi negara dalam keadaan kewangan dan politik yang mencabar, termasuk hutang besar dan krisis ekonomi global.
"Usaha merealisasikan tuntutan MA63 sedang berjalan, namun ia perlu dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara.
"Kalau dianggap itu sebagai hutang, sudah tentu rakyat Sabah mahu semuanya dibayar segera. Tetapi kita kena lihat kemampuan negara hari ini.
"Kerajaan Madani sedang melaksanakan perjanjian itu langkah demi langkah," katanya lanjut.









Comments