Hari Peneroka, Penoreh Lagud Seberang disambut meriah, lebih 500 hadir
- Suara Keadilan

- 14 hours ago
- 1 min read

Oleh: Shaiful Anuar S
Sambutan Hari Peneroka dan Penoreh Skim Penempatan Getah Lagud Seberang di Tenom, Sabah berlangsung meriah baru baru ini apabila lebih 500 peneroka, penoreh serta penduduk setempat hadir menyertai program itu yang diadakan sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan komuniti berkenaan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC), Datuk Jamawi Jaafar, yang menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas penganjuran program bermakna itu.
Antara acara yang paling dinantikan ialah penyampaian geran tanah kepada peneroka, disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Jabatan Tanah dan Ukur Kota Kinabalu yang mewakili PPHT Tenom, Nurul Ehsan. Penyampaian geran itu dianggap detik bersejarah oleh para penerima yang telah lama menunggu penyelesaian pemilikan tanah mereka.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Jamawi yang juga calon Pakatan Harapan untuk DUN N42 Melalap menegaskan bahawa usaha membawa kesejahteraan kepada masyarakat Parlimen Tenom dan DUN Melalap akan terus menjadi keutamaan beliau.
"Saya akan sentiasa berusaha untuk memudahkan dan menyelesaikan masalah masyarakat Tenom dan Melalap sebaiknya. Semoga usaha kita bersama akan terus berkekalan hingga akhirnya," katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya hubungan erat antara penduduk, agensi kerajaan dan kepimpinan setempat dalam memastikan pembangunan komuniti luar bandar terus diperkasakan.
Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah penghargaan kepada peneroka dan penoreh, malah mengukuhkan semangat kebersamaan demi kesejahteraan serta kemakmuran komuniti Lagud Seberang pada masa hadapan.









Comments