top of page

Hari Penduduk Sedunia: Tingkatkan kesedaran, skil keibubapaan, komunikasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read
DS Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini
DS Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini

Sambutan Hari Penduduk Sedunia perlu dijadikan wadah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perubahan demografi dan kesannya kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan keluarga serta masa depan generasi muda.


Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, isu kependudukan tidak boleh dilihat hanya dari aspek kadar kelahiran, sebaliknya perlu mengambil kira peluang pekerjaan, perumahan, kesihatan dan kestabilan keluarga.


Beliau berkata, pemilihan tema yang memberi tumpuan kepada golongan muda amat penting kerana mereka merupakan generasi yang bakal membentuk keluarga, masyarakat dan negara pada masa hadapan.


"Golongan muda merupakan generasi yang akan membentuk keluarga, masyarakat dan negara kita pada masa depan.


"Mereka perlu didengar, difahami dan diterjemahkan melalui dasar dan tindakan yang berkesan," katanya dalam ucapan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, hari ini.


Menurut Wan Azizah, landskap demografi global kini berubah dengan pantas apabila banyak negara berdepan penurunan kadar kesuburan, peningkatan jumlah warga emas, perubahan struktur isi rumah dan pengecilan saiz keluarga.


Katanya, Malaysia turut berdepan cabaran sama apabila keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak semakin dipengaruhi faktor kestabilan ekonomi dan kehidupan.


DS Dr Wan Azizah (tengah) dan Datuk Azman menyokong kempen anti gangguan seksual
DS Dr Wan Azizah (tengah) dan Datuk Azman menyokong kempen anti gangguan seksual

"Di Malaysia, indeks menunjukkan 90 peratus responden bujang menyatakan hasrat untuk berkahwin dan hidup bersama pasangan, manakala 91 peratus mempunyai hasrat untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.


"Namun, keputusan mendirikan rumah tangga bukan sekadar soal cinta, tetapi turut melihat pekerjaan yang terjamin, kemampuan memiliki kediaman dan kesediaan dari segi emosi," katanya.


Wan Azizah berkata, berdasarkan dapatan Banci Penduduk Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), seramai 467,000 penduduk Kuala Lumpur masih belum berkahwin berbanding 891,000 yang telah berkahwin.


Dalam pada itu, beliau menegaskan golongan remaja tidak seharusnya digalakkan berkahwin pada usia terlalu muda, sebaliknya perlu dipersiapkan menjadi individu dewasa yang mampu membuat keputusan secara matang.


"Bila kita cakap tentang remaja, tentunya kita tidak galakkan mereka kahwin pada usia muda. Kita nak siapkan mereka menjadi dewasa yang mampu membuat keputusan dengan matang.


"Ini termasuk mengurus kewangan, emosi, komunikasi, konflik dan kesihatan reproduktif," katanya.


Wan Azizah turut menyifatkan perkahwinan sebagai satu tanggungjawab besar yang memerlukan persediaan dan sokongan berterusan.


"Perkahwinan adalah satu ujian yang berat. Kita tekankan, martabatkan perkahwinan. Yang penting sekali perkahwinan yang berkekalan.


"Perkukuhkan institusi keluarga, tingkatkan (skil) keibubapaan serta menyediakan sokongan kepada keluarga pada setiap peringkat kehidupan," katanya.


Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pendidikan kekeluargaan, keibubapaan dan kaunseling keluarga.


Katanya, cabaran keluarga kini bukan sahaja berkaitan keinginan untuk berkahwin, malah terdapat pasangan yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan zuriat.


Pada masa sama, beliau menyambut baik langkah kerajaan dalam memperkukuh sokongan kepada keluarga termasuk cuti paterniti tujuh hari, aturan kerja fleksibel serta pindaan undang-undang pekerjaan berkaitan keluarga yang menimang cahaya mata.


Selian itu, kata beliau Kerajaan juga banyak membuat galakan pendidikan dan kebolehpasaran kerja bagi memastikan golongan muda bukan sahaja bersedia membina keluarga, tetapi mampu membentuk keluarga yang stabil, sejahtera dan berkekalan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page