Hari Migran Antarabangsa: Kaji dasar, hapuskan penderitaan pekerja asing
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Kemakmuran ekonomi Malaysia telah dibina dengan bantuan pekerja asing atau migran sejak empat dekad lalu.
Bagaimanapun, menurut mantan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, banyak pekerja asing ini mengalami ekploitasi sewaktu mereka bekerja.
Menurut beliau, sumbangan besar pekerja asing kepada pembangunan negara seharusnya tidak perlu lagi dibayangi realiti pahit eksploitasi, termasuklah kitaran hutang yang membelenggu kehidupan mereka sejak sebelum mereka tiba di Malaysia.
"Infrastruktur, rantaian bekalan dan pertanian Malaysia dijalankan atas keringat dan air mata pekerja asing.
"Namun, mereka terpaksa menjalani kitaran hutang dan eksploitasi semata-mata untuk terus hidup,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Migran Antarabangsa, kelmarin.
Charles menjelaskan bahawa yuran pengambilan pekerja yang tinggi menjadi punca utama kepada amalan 'kerja paksa', apabila pekerja migran tiba dalam keadaan terbeban hutang, sekali gus menyukarkan mereka untuk melarikan diri daripada persekitaran yang buruk.
"Yuran pengambilan adalah saluran terus ke arah 'kerja paksa'. Apabila pekerja asing tiba dalam keadaan berhutang, mereka sukar pergi walaupun gaji tidak dibayar, pasport ditahan atau diancam pengusiran," ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa sistem ikatan hutang ini bukan sahaja menindas pekerja, malah memberi kesan kewangan kepada syarikat tempatan.
Sehubungan itu, Charles menggesa kerajaan supaya mewajibkan pelaksanaan dasar kos pengambilan sifar bagi pekerja migran, di samping memperketat penguatkuasaan terhadap kartel dan pihak yang meraih keuntungan daripada sistem eksploitasi tersebut.
"Malaysia perlu melaksanakan dasar kos pengambilan sifar dan menggandingkannya dengan penguatkuasaan tegas terhadap kartel.
"Hanya apabila kita membongkar sistem eksploitatif ini, kita akan menghormati pekerja yang telah menjadi pelakon utama dalam pembangunan kita," tegas beliau lagi.





