Hari Kebangsaan 2026: Lebih 100,000 pengunjung banjiri Dataran Putrajaya
- Suara Keadilan

- 24 hours ago
- 2 min read

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya, hari ini, sekali gus menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.
Sambutan yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” itu menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam membina sebuah negara maju, harmoni dan sejahtera tanpa mengira latar belakang masyarakat.
Menurut Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, acara perbarisan dan perarakan tahun ini membabitkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam serta 11 kereta berhias dengan penyertaan seramai 10,819 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan wakil masyarakat sivil.
"Buat julung kalinya, sambutan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 serta kontinjen kluster Kelestarian Ekonomi Jingga," kata kenyataan itu.
Sambutan turut diserikan persembahan pergendangan “Gema Inovasi MADANI” yang menggabungkan Rebana Inovasi dan Kompang Inovasi bersama pelbagai alat muzik tradisional lain yang mewakili komuniti serta wilayah di Malaysia.

Persembahan itu membabitkan 150 peserta pergendangan dan 1,500 peserta grafik manusia, sekali gus mencerminkan kepelbagaian warisan seni dan budaya negara.
"Kemuncak acara turut diserikan dengan persembahan skuadron pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya.
Persembahan penutupan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” pula menghimpunkan 2,350 peserta terdiri daripada gabungan Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), PERMATA Seni Tari, pelajar Kementerian Pendidikan (KPM), agensi dan jabatan kerajaan, syarikat seni serta badan bukan kerajaan (NGO) seni dan budaya.
Penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir turut membuat persembahan dengan menyanyikan lagu tema rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, “Aku Berjanji”.
"Sambutan bertambah bermakna dengan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah," kata kenyataan itu lagi.
Turut hadir Perdana Menteri dan isteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet serta Duta dan Konsul Asing di Malaysia.
Kehadiran barisan kepimpinan negara dan wakil diplomatik itu menambahkan lagi seri sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni dan semangat patriotik.




Comments