'Hari belia bermula dengan Anwar, ke hadapan memartabatkan negara'
- Redzuan Shamsudin

- May 29, 2023
- 1 min read

Tidak banyak rakyat Malaysia menyedari hari belia yang disambut pada 15 Mei di seluruh negara bagi mengiktiraf peranan dan suara golongan muda itu diperjuangkan dan menjadi kenyataan semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
Hal itu diungkapkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dalam catatan di Facebooknya.
Menurut beliau, semalam merupakan detik bersejarah apabia Anwar meraikan sambutan Hari Belia Negara di Negeri Sembilan, meraikan hasil usahanya puluhan tahun lalu, dan kini sebagai orang nombor satu dalam kerajaan.
"Beberapa dekad lalu, 15 Mei diisytihar sebagai Hari Belia Negara untuk mengiktiraf peranan dan suara golongan muda, hasil dari desakan yang dipimpin Encik Anwar Ibrahim, Presiden MBM ke-6.
"Pagi tadi, kembali sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia Hannah Yeoh dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turun bersama anak muda meraikan sambutan Hari Belia Negara 2023 di Port Dickson," katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli memuji MBM kerana sambutan hari belia tahun ini dianjurkan sendiri oleh MBM dengan kerjasama JBS Negara.
"Tahniah buat Presiden MBM, saudara Izzat Afifi Abdul Hamid dan pasukan.
"Saya turut ambil peluang untuk melawat Jelajah Genta Belia yang selepas ini bakal diadakan di seluruh pelusuk negara," katanya lagi.
Turut menjadi tumpuan dalam sambutan semalam adalah anak-anak muda yang terlibat dalam lapangan TVET menerusi Karnival TVET TABAH x MyFutureJobs 2023. Mereka merupakan nadi penggerak kepada enjin pembangunan negara.
Adam berharap golongan belia dapat terus melangkah berani dan mandiri mengangkat martabat Malaysia di mata dunia sebagaimana yang sedang diusahakan oleh PMX sedaya upayanya ketika ini.




Comments