Oleh: Abdullah Zaid
Kejayaan Kerajaan Madani mengawal harga barang keperluan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri merupakan kejayaan yang perlu diakui oleh pihak pembangkang, dan laskar siber mereka tidak seharusnya terus memburuk burukkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, peranan agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan cukup cemerlang serta telah berjaya mempertahankan harga, dan mengendalikan bekalan yang jauh lebih baik berbanding pemerintahan kerajaan PN (2020 - 2022) lalu.
"Pihak penguatkuasaan telah berjaya membuat langkah kawalan (sepanjang musim perayaan) agar peniaga mengikut harga pasaran.
"Bagi saya usaha ini perlu diteruskan agar rakyat terus mendapat manfaat," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah Setiausaha Politik Presiden KEADILAN itu, lebih membanggakan adalah bekalan keperluan makanan mencukupi walaupun musim perayaan Aidilfitri kali ini menyaksikan sejumlah besar rakyat pulang ke kampung dan menyaksikan permintaan makanan basah yang amat tinggi.
Namun begitu, kata Onn, masih terdapat sesetengah pihak yang menyelar Kerajaan Madani seolah-olah tidak melakukan apa-apa bagi menangani soal kos sara hidup dan bekalan makanan.
"Kalau kita banding dengan Hari Raya dahulu, selalu ada masalah bekalan mentah terutama daging, telur dan ayam tetapi kini masalah itu tidak berlaku lagi.
"Bagi saya, pihak pembangkang sudah-sudahlah mencari isu cuba burukkan kita, kononnya kerajaan gagal kawal harga barang," katanya lagi.
Untuk rekod, harga barangan pada musim perayaan beberapa tahun lalu amat tidak terkawal. Harga daging pernah direkodkan RM45.00 sekilogram semasa pentadbiran PN sebelum mereda kepada RM32.00 pada 2024.
Selain itu, ayam pada 2021 pernah mencatat sehingga RM12 sekilogram sebelum kembali stabil pada 2024 kepada RM8.40 sejak Kerajaan Madani mengambil alih Putrajaya.
Komentar