Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kos sara hidup rakyat adalah salah satu perkara yang perlu ditangani ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Beliau berkata kos sara hidup rakyat menjadi lebih tinggi dan membebankan kepada mereka yang hilang pendapatan dan pekerjaan kerana Covid-19.
"Sara hidup antara lain berkait makanan, perumahan, pendidikan, kesihatan. Ianya juga berkait keupayaan kuasa beli rakyat. Kuasa beli pula berkait dgn pendapatan.
"Saat ini akibat kesan pandemik Covid-19 pendapatan rakyat terjejas teruk. Hilang pekerjaan juga ramai. Angka pengangguran ikut meningkat. Rakyat kategori B40 dan M40 terkesan teruk," katanya.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu juga berpendapat harga barang keperluan menjadi semakin mahal ketika ini.
"Rakyat berpendapatan rendah paling banyak berbelanja untuk makanan. Harga barangan keperluan sekarang semakin mahal.
"Minyak masak, sayur-sayuran, ayam naik harga. Semalam sawi RM9/kg, buncis RM14.90/kg, kacang panjang RM10/kg, ayam RM7.90/kg, minyak masak tanpa subsidi juga naik harga," katanya.
Justeru, Saifuddin mahu meringankan beban rakyat dengan memberi sumbangan barangan keperluan asas menerusi Yayasan Foodbank Malaysia yang diterajuinya.
"Yayasan Foodbank Malaysia yang saya asaskan memberi tumpuan agihan bakul makanan, beras, minyak masak, tepung dan gula. Usaha ini kami lakukan sebelum pandemik Covid-19 lagi dan ditingkatkan semasa Covid-19.
"Alhamdulillah Yayasan Foodbank yang sekarang beroperasi di Kajang akan memulakan cawangan baru di utara dalam masa terdekat.
"Terima kasih kepada 59 syarikat penyumbang, rakan-rakan strategik, ratusan sukarelawan dan staf yayasan yang terus komited," katanya.
Comments