top of page

Haram undi PH: Kemenangan PH isyarat rakyat tolak pemimpin jual agama

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Sep 10, 2023
2 min read


Kemenangan dua calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram semalam membuktikan idea pemimpin PN menjual agama dengan menghukum 'haram' mengundi lawan politik tidak diterima oleh orang Melayu Johor.


Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali justeru tertanya tanya apakah Pengerusi PN, Mahiadin Yassin yang mengeluarkan hukum haram itu selepas ini akan meminta pengundi di Pulai dan Simpang Jeram bertaubat daripada perbuatan mereka.


"Selepas calon Perpaduan menang pada dua PRK Johor, adakah PN akan meminta pengundi Pulai dan Simpang Jeram untuk bertaubat?


"Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah ber'fatwa' meng'haram'kan rakyat Pulai dari mengundi Suhaizan Kayat semasa fasa kempen yang lalu. Jadi soalan saya sekarang, adakah PN anggap pengundi di sana telah lakukan dosa dan perlu bertaubat?


"Saya nak ingatkan PN bahawa pilihanraya adalah proses biasa demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Ini termaktub dalam Perlembagaan dan selari dengan semangat 'masdaqal ijtima'iyyah' atau 'people's mandate' dalam perbahasan maqasid syar'iyyah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bagi Sheikh Umar, PN dan para pemimpinnya terutama Pas perlulah melupakan usaha besar besaran untuk mengindoktrinasikan orang Melayu dengan hukum 'halal - haram' dalam politik selepas ini.


Katanya, ada had untuk menunggang agama dan bukan semua Melayu akan bersikap sama sebagaimana di negeri yang berjaya mereka perdaya.


"Sebaliknya kemenangan calon Perpaduan memberi isyarat bahawa rakyat Johor tidak menerima politik memperguna agama yang keterlaluan.


"Saya beri amaran, politik memperalat agama adalah sangat tak bertanggungjawab. Ia hanya akan mencalarkan kesucian Islam. Lebih bahaya lagi, ia boleh membenihkan ekstremisme yang meruntuhkan perpaduan kita," ujarnya.


Sebaliknya, Sheikh Umar menasihati PN untuk kembali ke jalan yang benar menjadi ahli politik yang berwibawa dengan berlawan dari segi idea serta polisi pada masa hadapan.


"Saya berharap, PN akan kembali fokus. Jadilah pembangkang yang konstruktif. Mainkan peranan untuk membantu Kerajaan membangunkan rakyat dan memulihkan ekonomi. Cadangkan polisi-polisi yang baik.


"Berhentilah daripada perangai adu domba dan manipulasi agama demi kepentingan politik. Ia hanya merugikan rakyat dan negara," katanya lagi.


Kekalahan PN di Johor seharusnya menyedarkan pemimpin parti berkenaan terdapat had dalam memperbodohkan pemikiran orang Melayu.


Berdasarkan pemerhati politik, PN telah mencapai tahap tepu sokongan di kawasan Melayu dan tidak boleh pergi lebih jauh sekiranya kekal dengan idealogi ekstrem kanan yang mereka bawa pada waktu ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page