Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu lebih demokratik memerintah dengan menjamin hak dan kebebasan bersuara.
Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sikap pihak berkuasa yang menafikan kebebasan bersuara Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam isu perkahwinan bawah umur tidak wajar berlaku dalam sebuah negara bebas seperti Malaysia.
Katanya, sewaktu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur yang komprehensif telah pun dilancarkan pada 16 Januari 2020.
Pelan itu diketengahkan rentetan kesukaran mencari penyelesaian isu berkenaan kerana urusan perkahwinan warga muslim berada di bawah bidang kuasa negeri.
Oleh itu, kata Dr Wan Azizah, adakah menjadi satu kesalahan untuk bertanyakan nasib pelan tersebut di tangan kerajaan PN.
"Tujuh negeri iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan termasuk Kelantan menyatakan tidak bersetuju dengan draf membabitkan pindaan Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303), menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.
"Justeru adakah salah bagi Hannah Yeoh, mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang turut sama merangka Pelan Strategik tersebut menanyakan status dan kemajuan pelan kepada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff selaku Timbalan Menteri KPWKM merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang, memandangkan Kelantan juga salah sebuah negeri yang menolak usaha menaikkan had umur perkahwinan?
"Oleh itu saya menggesa pihak berkuasa untuk berlaku adil, dan mengingatkan Putrajaya agar tidak melakukan intimidasi politik terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang menjalankan tugas mereka menyuarakan isu-isu rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini Hannah telah diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, setelah laporan dibuat oleh orang awam ke atas tweetnya berkenaan isu perkahwinan bawah umur.
ความคิดเห็น