Hanya Kestabilan Politik PH Mampu Jana Pembangunan N Sembilan
- Suara Keadilan

- 57 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Gendang dipalu, kempen Pilihan Raya Negeri telah berlangsung hampir seminggu di Negeri Sembilan. PRN kali ini amat kompleks; Adat Perpatih kini bertemu crossroad—antara mengekalkan tradisi atau tergelincir ke dalam kancah politik ekstrem. Lebih membimbangkan, suasana kempen turut diwarnai retorik keterlaluan sehingga institusi Diraja seakan dicemari demi kepentingan politik jangka pendek.
Di persimpangan ini, kita memerlukan nakhoda yang berwibawa. Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri, mempunyai pilihan mudah untuk menjadi pemimpin populis yang mengejar sorakan. Namun, beliau memilih jalan sukar: meletakkan reformasi institusi sebagai teras pentadbiran negara.
Jika bukan beliau, siapa lagi? Sokongan kini bukan lagi bersandarkan emosi, tetapi pragmatisme demi kestabilan negara di tengah gelora ekonomi global. Keupayaan beliau mengemudi Malaysia dengan bijaksana adalah aset yang tidak boleh disia-siakan.
Pentadbiran tenang hasilkan pembangunan mampan
Selari dengan kepimpinan di peringkat pusat, Negeri Sembilan memerlukan kesinambungan yang stabil. Datuk Seri Aminuddin Harun, sebagai Menteri Besar, telah membuktikan bahawa pentadbiran yang tenang mampu menghasilkan pembangunan mampan. Beliau adalah arkitek kepada reformasi di peringkat negeri. Hasil kerja beliau di Negeri Sembilan bukan sekadar retorik, tetapi realiti yang dirasai rakyat.
Adalah penting untuk memberi ruang kepada beliau menyempurnakan reformasi ini sepenuhnya, sekali gus menjadikan pentadbiran beliau sebagai model keberhasilan bagi Kerajaan Persekutuan.
Telah terbukti Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak berpaksi pada konsep ketuanan yang sempit, sebaliknya konsisten menjunjung kedaulatan Raja dan negara.
Namun, lihatlah dilema ganjil di pihak lawan. Bagaimana MCA dan MIC mahu berdepan ahli mereka apabila Umno membuat keputusan mutlak bekerjasama dengan Pas? Apabila rakan dominan memilih haluan retorik ekstrem, apakah ruang yang tinggal bagi mereka selain menjadi pelengkap kata? Ini adalah krisis identiti nyata bagi pihak yang mendambakan keterangkuman.
Hakikatnya, reformasi kerajaan masih berkelangsungan. Walaupun hasil penuh belum kelihatan, kerja telah diperkasakan oleh kepimpinan Anwar Ibrahim di Putrajaya dan Aminuddin Harun di Seremban.
Nakhoda tidak gadai prinsip demi kuasa
Rakyat menuntut kerajaan yang konsisten bekerja, namun rakyat juga harus konsisten dengan tanggungjawab mereka. Jangan hanya tahu mengadu jika tanggungjawab mengundi dipandang sepi. Baliklah mengundi apabila tiba masanya; hanya selepas itu, barulah kita mempunyai hak dan moral untuk menuntut akauntabiliti.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bukan pemimpin yang sempurna, dan Datuk Seri Aminuddin Harun mungkin tidak banyak berjanji manis. Namun, mereka adalah gandingan nakhoda yang memilih untuk tidak menggadai prinsip demi kuasa. Di tengah-tengah dunia yang gila dan politik domestik yang penuh drama, mereka adalah pilihan paling rasional untuk menghalang negara daripada karam oleh budaya rasuah dan kejahilan.
Kestabilan hari ini adalah aset mahal. Jangan biarkan retorik kosong dan desakan pihak yang hanya mahu merosak terus mendominasi ruang udara negara. Fokus kepada agenda pembangunan; masa depan Malaysia tidak harus dikorbankan demi permainan politik yang tidak berkesudahan.




Comments